Australia menepati ramalan sebagai pasukan pilihan apabila dinobatkan sebagai juara Kejuaraan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2016 selepas mengalahkan Pakistan 3-1 pada aksi final di Stadium Hoki Taman Daya, di sini, malam Ahad.

Ini merupakan kali pertama Australia merangkul kejuaraan tersebut selepas muncul naib juara pada edisi sulung pada 2011 dan tempat ketiga pada tahun berikutnya.

Melakukan persiapan menghadapi Piala Dunia Remaja di India, bulan depan, Australia terlebih dahulu dikejutkan oleh jaringan awal pemain Pakistan, Hassan Anwar pada minit ketujuh menerusi pukulan sudut penalti.

Tertekan dengan keadaan, Australia bangkit menyamakan kedudukan menerusi hasil pukulan sudut penalti yang dihasilkan oleh Frazer Gerrard pada minit ke-13 untuk kedudukan 1-1 pada separuh masa.

Bersambung pada babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan sering melancarkan serangan bertali arus untuk mencari gol namun kesilapan pemain Pakistan membuka peluang kepada Australia menambah gol hasil penalti stroke yang disempurnakan oleh Blake Govers pada minit ke-47.

Blake sekali lagi menyenaraikan namanya sebagai penjaring apabila menutup tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-67.

Kejayaan Australia bertambah manis apabila Kiran Arunasalam dinobatkan sebagai pemain terbaik final manakala Tom Craig memenangi anugerah penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol.

Penjaga gol Jepun, Keita Matsuda pula dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik SOJC 2016.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyampaikan trofi kepada pemenang.

-- BERNAMA