#AWANIEuropa: Chelsea muncul juara Liga Europa

Ian Johan Ariff
Mei 29, 2019 21:55 MYT
Chelsea membelasah Arsenal 4-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan untuk muncul juara Liga Europa. - Foto AP
EDEN HAZARD mengucapkan selamat tinggal kepada Chelsea dengan penuh gaya apabila menjaringkan dua gol pada final Liga Europa awal pagi Khamis, untuk membantu The Blues menewaskan seteru London, Arsenal 4-1.
Perlawanan di Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan itu menyaksikan bekas penyerang Arsenal, Olivier Giroud membuka tirai jaringan buat Chelsea pada minit ke-49.
Giroud menanduk masuk hantaran silang Emerson untuk menewaskan bekas penjaga gol Chelsea, Petr Cech, yang bermain perlawanan terakhirnya buat kelab itu.
Pedro Rodriguez kemudian menggandakan jaringan the Blues pada minit ke-60 selepas menerima hantaran Hazard.
Hazard kemudian memastikan the Blues berada dalam keadaan selesa dengan menjaringkan gol ketiga perlawanan menerusi sepakan penalti pada minit ke-65.
Penalti diperoleh selepas Giroud dijatuhkan Ainsley Maitland-Niles.
Pemain gantian Arsenal, Alex Iwobi berjaya menjaringkan satu gol buat the Gunners pada minit ke-69 menerusi satu volley jarak jauh namun misi kebangkitan Arsenal terbantut apabila Hazard menyumbat gol keempat Chelsea pada minit ke-72, hasil hantaran Giroud.
Kemenangan ini merupakan trofi pertama dimenangi oleh pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, yang tidak digemari oleh majoriti penyokong The Blues.
Kekalahan bermakna Arsenal terlepas untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
#Arsenal #Arsenal kalah #benam arsenal #Chelsea #Chelsea muncul juara #hazard #Olimpik #Olivier Giroud #Piala Europa #Rodriguez Pedro #Stadium Olimpik Baku #The Blues