Menyedari kepentingan sukan sebagai medium pembentukan perpaduan dalam kalangan masyarakat, Parlimen Sri Gading telah menganjurkan sebuah kejohanan bola sepak tahunan 'Liga Bola Sepak Sri Gading' yang telah melabuhkan tirainya pada 3 Mac lalu.

Bertempat di Stadium Universiti Tun Hussein Onn Malaysia(UTHM) Parit Raja, Batu Pahat Johor, perlawanan akhir antara Tongkang Armada FC dan Felcra Sri Wangi menyaksikan pasukan Felcra Sri Wangi muncul juara liga dan berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.

Tongkang Armada FC yang disertai oleh belia kawasan Tongkang Pechah bagaimanapun telah memberikan saingan hebat pada perlawanan akhir muncul sebagai naib juara dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000.

Perlawanan akhir tersebut berlangsung dengan meriah dengan kehadiran penyanyi otai Nash dan Amy Search dan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Aziz Kaprawi merangkap Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia dan Timbalan Menteri Mentor UTHM.

Apa yang menarik di sebalik kemenangan ini, pasukan Tongkang Armada FC ini telah membariskan tiga beradik dan dua daripadanya adalah pelajar UTHM merangkap penghuni Kolej Kediaman Pagoh.

Muhamad Fadhli Nor Mohd Saim, 25 tahun, Muhamad Syazrul Nor Mohd Saim, 20 tahun dan Zikry Ashraf Nor Mohd Saim, 22 tahun merupakan trio adik-beradik dan barisan pemain muda dalam pasukan ini.

Menurut Muhamad Fadhli, legasi dan warisan meminati sukan bola sepak ini telah diwarisi daripada arwah bapa mereka yang juga merupakan penggemar dan penggiat sukan bola sepak.

Pemergian bapa mereka telah memberikan suntikan semangat untuk lebih berusaha keras dalam sukan bola sepak.

Di samping itu, sokongan dan galakan daripada ibu mereka, Maslina Salem juga telah membangkitkan semangat adik beradik ini untuk terus menglibatkan diri dalam sukan ini.

Tambah Muhamad Fadhli, minat mereka dalam bola sepak telah diasah sejak kecil lagi melalui latihan dan penyertaan dalam pelbagai pertandingan.

Keserasian yang telah dibina sejak dari awal ini banyak membantu mereka untuk bekerjasama dan memberikan yang terbaik semasa beraksi di padang.

Muhammad Syazrul yang juga merupakan pemain bola sepak bagi Kolej Kediaman Pagoh Satu, juga telah menyertai pelbagai kejohanan bola sepak anjuran UTHM dan telah memenangi beberapa pertandingan bersama pasukannya, Opel FC.

Hubungan yang terbina di antara tiga beradik ini sehingga berjaya memperoleh kejayaan yang membanggakan ini sememangnya satu kisah yang boleh dijadikan sebagai inspirasi dan teladan kepada semua remaja untuk terus berusaha tanpa mengenal erti putus asa dan bekerjasama demi kejayaan pasukan.
__________________________________________________________________________

*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers, Amirul Faiz dan Anbia Adam dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Suntingan oleh Puan Suriayati Binti Baharom.

**AWANI Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkogsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

***AWANI Rangers UTHM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia(UTHM).