SUKAN

Azerbaijan, Uzbekistan bida anjur bersama Piala Dunia B-20 FIFA 2027

Bernama 08/07/2025 | 06:41 MYT
Azerbaijan bersama Uzbekistan bersedia sepenuhnya untuk menjadi tuan rumah kejohanan berprestij itu. - Gambar/ Bernama
BAKU: Persekutuan bola sepak Azerbaijan dan Uzbekistan telah mengemukakan bidaan untuk menjadi penganjur bersama Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) FIFA 2027, lapor Agensi Berita Azerbaijan (Azertac).


Ringkasan AI
  • Azerbaijan dan Uzbekistan telah mengemukakan bidaan bersama untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 Tahun FIFA 2027, dengan FIFA kini dalam proses menilai cadangan tersebut.
  • Kedua-dua negara menekankan kesiapsiagaan mereka berdasarkan kemajuan infrastruktur bola sepak dan pengalaman menganjurkan kejohanan besar seperti EURO 2020 dan Piala Dunia Wanita Bawah 17 Tahun.
  • Azerbaijan menyatakan komitmen untuk menarik minat peminat bola sepak global melalui hospitaliti, profesionalisme dan sokongan padu peminat tempatan terhadap sukan tersebut.


Menurut Persatuan Persekutuan Bola Sepak Azerbaijan (AFFA), FIFA telah mula menilai bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 Tahun FIFA 2027.

Dengan mengambil kira faktor termasuk pembaharuan aktif dalam bola sepak dan infrastruktur yang maju, persekutuan bola sepak Azerbaijan dan Uzbekistan bergabung tenaga untuk mengemukakan bidaan bersama dan menyatakan kesediaan penuh mereka untuk menganjurkan kejohanan berprestij itu pada tahap yang tinggi.

AFFA berkata Azerbaijan bersama Uzbekistan bersedia sepenuhnya untuk menjadi tuan rumah kejohanan berprestij itu.

Beberapa stadium di seluruh negara memenuhi piawaian antarabangsa dan Azerbaijan mempunyai pengalaman yang luas dalam menganjurkan kejohanan utama dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini termasuk beberapa perlawanan EURO 2020, khususnya perlawanan akhir Liga Europa UEFA, Kejohanan Eropah Bawah 17 Tahun dan Piala Dunia Wanita Bawah 17 Tahun FIFA. Pegawai FIFA dan UEFA turut memuji kejohanan berprestij yang telah dianjurkan di Baku.

Dinyatakan juga bahawa Azerbaijan bersedia memenangi hati peminat bola sepak seluruh dunia dengan hospitaliti, profesionalisme, dedikasi terhadap bola sepak dan tentunya kasih sayang yang tulus daripada peminat bola sepaknya.

-- BERNAMA


#Azerbaijan #Uzbekistan #Piala Dunia Bawah 20 Tahun #FIFA