Azim tidak tolak kemungkinan tandatangani Luqman Hakim

Astro Arena
September 30, 2022 01:00 MYT
Dalam mempersiapkan pasukan bagi saingan musim depan, Azim (gambar) tidak menolak usul Lim Teong Kim untuk mendapatkan Luqman musim depan. - Foto Astro ARENA
'KALAU dia nak balik apa salahnya?', itu reaksi bersahaja pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi, apabila dikaitkan dengan usaha kelab dapatkan khidmat Luqman Hakim Shamsudin yang masih bersama K.V. Kortrijk.
Usaha Perak FC untuk berada dalam saingan Liga Super musim depan telah melalui proses keputusan 'tiada aksi play-off' dikeluarkan pihak penganjur, Malaysian Football League (MFL) Selasa lalu.
Namun ura-ura Perak bakal mendapat laluan mudah ke Liga Super 2023 sudah kedengaran lebih awal lagi.
Ternyata dakwaan sudah ada rundingan 'bawah meja' lebih awal seolah-olah keadaan yang tidak boleh disangkal lagi.
Namun Azim menyangkal dakwaan itu dengan melabelkan Perak hanya bernasib baik disebabkan kekurangan pasukan lain yang berhadapan dengan masalah kewangan.
"Banyak pasukan yang tidak menepati syarat yang ditetapkan bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan. Perak hanya bernasib baik kerana menepati syarat yang telah ditetapkan," kata Azim.
Dalam mempersiapkan pasukan bagi saingan musim depan, Azim tidak menolak usul Lim Teong Kim untuk mendapatkan Luqman musim depan.
Namun Azim menegaskan segalanya belum ada sebarang kata putus lagi.
"Saya berasakan ia akan memberikan impak yang besar buat hanya kepada pasukan, tetapi kepada saingan Liga Super. Ia adalah langkah yang sama seperti membawa pulang Teong Kim untuk mengendalikan Perak."
#Perak FC #Liga Super #Azim Zabidi #Luqman Hakim Shamsudin