ALOR SETAR: Allahyarham Mohd Azraai Khor Abdullah yang membimbing pasukan bola sepak Kedah antara 2004 hingga 2009 disifatkan sebagai seorang yang berdedikasi dan sentiasa mengutamakan kebajikan pemain.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Allahyarham bukan sahaja mahu pihak pengurusan menitikberatkan soal gaji dan bonus pemain, tetapi juga kebajikan keluarga mereka.

"Semasa saya Menteri Besar Kedah, kami menang tiga piala pada 2007 dan sekali lagi menang tiga piala pada 2008 yang menjadi kejayaan double treble cukup cemerlang dan membanggakan untuk bola sepak Kedah.

"Arwah seorang jurulatih yang berdedikasi, kuat kerja dan sangat bersemangat dalam bola sepak," katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarham Mohd Azraai Khor, 72, yang meninggal dunia pada Khamis lepas dipercayai mengalami serangan strok.

Menurut Mahdzir, Mohd Azraai Khor pernah menyatakan sekiranya pihak pengurusan dapat menjaga kebajikan pemain dan keluarga mereka sebaik mungkin, ia dapat menjadikan pasukan lebih fokus dalam latihan dan perlawanan.

Menyentuh isu tunggakan gaji yang dilaporkan sedang dihadapi pemain Kedah Darul Aman (KDA FC) ketika ini, Mahdzir yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah berkata pihak yang berkaitan perlu berusaha mencari penyelesaian dan tidak hanya menyalahkan pihak lain semata-mata.

"KDA FC ialah syarikat yang ditubuhkan kerajaan melalui KFA juga, tak boleh sewenang-wenang kata ini awak yang salah sebab tak bagi gaji, orang itu pula kata salah awak sebab tak bagi duit. Realitinya sudah lima bulan mereka tak dapat gaji, jadi ambil tanggungjawab bersama-sama," katanya.

Sementara itu, bekas Naib Presiden KFA Datuk Othman Aziz berpendapat persatuan itu tetap mempunyai tanggungjawab terhadap kejayaan bola sepak Kedah walaupun pasukan berkenaan telah diswastakan.

"Kita tak boleh lepas tangan kepada KDA FC semata-mata dan saya yakin KFA mesti ada suara atau golden share dalam kelab atau syarikat itu yang perlu dirujuk sekiranya berdepan sebarang masalah," katanya.

-- BERNAMA