BERBAKI tiga hari sebelum Kejohanan Badminton Asia (BAC) membuka tirai di Manila, Filipina, perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, optimis mampu melakar kejutan meskipun terdapat ramai pemain terbaik dunia akan beraksi dalam kejohanan itu.

Dia yang ditemui dalam kem latihan Piala Thomas di Akademi Badminton Malaysia (ABM) berkata fokusnya kini 100 peratus terhadap kejohanan di Filipina itu sebelum memperkuatkan skuad negara dalam Piala Thomas di Bangkok, Thailand bulan depan.

"Setakat ini segalanya berjalan dengan lancar, hari ini juga merupakan hari terakhir kem latihan kami," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz.

"Saya rasa, apa yang paling penting adalah untuk fokus kepada BAC terlebih dahulu.

"Kerana selepas BAC, masih ada seminggu lagi di Thailand untuk kami bersiap sedia menghadapi Piala Thomas.

"Saya fikir ia merupakan kali pertama saya akan bersaing dalam BAC dan sudah pasti saya berharap akan mendapatkan keputusan yang baik dalam kejohanan terbesar Asia ini.

"Sudah pasti setiap negara akan menghantar pemain terbaik mereka, jadi ia pasti akan menjadi kejohanan yang sukar sebelum kami bersaing dalam Piala Thomas," katanya.

Zii Jia akan turun beraksi dalam BAC selaku pemain pilihan ketiga dan akan bertemu pemain China, Sun Feixiang, dalam pusingan pertama.