SUKAN

Badan induk tinju wajibkan ujian jantina menjelang kejohanan dunia

Bernama 20/08/2025 | 23:30 MYT
Semua atlet yang mahu menyertai kejohanan anjuran World Boxing perlu menjalani ujian PCR sekali seumur hidup atau ujian saringan genetik lain yang setara untuk menentukan jantina kelahiran mereka dan kelayakan bertanding. - Gambar hiasan
BERLIN: World Boxing mengumumkan pelaksanaan ujian jantina yang diwajibkan bagi lelaki dan wanita yang ingin bertanding dalam kejohanan anjurannya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pengesahan oleh badan induk baharu itu dibuat kira-kira dua minggu sebelum kejohanan sulungnya di Liverpool dari 4 hingga 14 Sept.

Dasar baharu itu berkuat kuasa pada Rabu.

"Dasar ini bertujuan memastikan keselamatan semua peserta dan mewujudkan medan persaingan yang adil dan saksama untuk lelaki dan wanita," kata World Boxing.

Semua atlet yang mahu menyertai kejohanan anjuran World Boxing perlu menjalani ujian PCR (polymerase chain reaction) sekali seumur hidup atau ujian saringan genetik lain yang setara dari segi perubatan untuk menentukan jantina kelahiran mereka dan kelayakan bertanding

Bulan lepas, Olahraga Dunia juga memperkenalkan ujian jantina untuk atlet yang ingin bertanding dalam kategori wanita.

Perdebatan mengenai kelayakan jantina menarik banyak perhatian pada Sukan Olimpik musim panas di Paris apabila peninju Algeria Imane Khelif dan peninju Taiwan Lin Yu-ting memenangi pingat emas selepas dibenarkan bertanding oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

World Boxing telah diiktiraf sebagai rakan kongsi oleh lembaga eksekutif IOC pada Februari dan dijadualkan untuk mengambil alih penganjuran acara tinju di Sukan Olimpik Los Angeles pada 2028.

-- BERNAMA

#ujian jantina #World Boxing #atlet #kelayakan bertanding