SUKAN

Badminton: Aaron-Wooi Yik lonjak ke kedudukan ketiga dunia

Bernama 20/05/2025 | 09:45 MYT
Pada aksi final Terbuka Thailand 2025, Aaron-Wooi Yik muncul juara kejohanan Super 500 itu selepas mengalahkan Wiiliam Kryger Boe-Christian Faust Kjaer dari Denmark. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Gandingan negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik memperbaharui ranking apabila melonjak ke tangga ketiga dunia berbanding kedudukan kelima, berdasarkan kemas kini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.


Ringkasan AI
  • Lonjakan ranking Aaron Chia-Soh Wooi Yik: Gandingan negara melonjak ke tangga ketiga dunia selepas menjuarai Terbuka Thailand 2025 dan berada di belakang beregu profesional Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani.
  • Prestasi beregu wanita negara: Pearly Tan-M Thinaah kekal di kedudukan keempat dunia, di belakang pasangan dari Korea Selatan dan Jepun, manakala pasangan China unggul di ranking utama.
  • Keputusan final Terbuka Thailand 2025: Aaron-Wooi Yik menewaskan pasangan Denmark dalam perlawanan sengit, manakala Pearly-Thinaah merangkul gelaran pertama musim ini selepas mengalahkan wakil Korea Selatan.


Peningkatan itu susulan kejayaan Aaron-Wooi Yik muncul juara Terbuka Thailand 2025 pada Ahad lepas dengan mengumpul 83,170 mata untuk berada di belakang beregu profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dengan 91,090 mata.

Gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen kekal mengungguli ranking utama dunia.

Beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah pula kekal di kedudukan keempat dengan 82,466 mata di belakang pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee yang mengumpul 87,500 dan Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun kedua dengan 92,932 mata.

Pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning unggul di ranking utama setelah mengumpul 103, 734 mata.

Pada aksi final Terbuka Thailand 2025, Aaron-Wooi Yik muncul juara kejohanan Super 500 itu selepas mengalahkan Wiiliam Kryger Boe-Christian Faust Kjaer dari Denmark 20-22, 21-17, 21-12 manakala Pearly-Thinaah merangkul gelaran pertama mereka musim ini selepas menewaskan wakil Korea Selatan Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo 21-16, 21-17.

-- BERNAMA




#Aaron Chia-Soh Wooi Yik #ranking ketiga dunia #BWF #badminton