SPORTS

Badminton Piala Sudirman: Kejutan berlaku! Leong Jun Hao tumbangkan Kodai Naraoka!

Astro Arena 01/05/2025 | 04:18 MYT
Kejutan saingan Kumpulan C, Piala Sudirman apabila perseorangan negara, Leong Jun Hao, menumbangkan bintang Jepun, Kodai Naraoka. - Foto BAM
Kejutan berlaku dalam saingan Kumpulan C, Piala Sudirman apabila perseorangan negara, Leong Jun Hao, menumbangkan bintang utama Jepun, Kodai Naraoka, di Xiamen, China sebentar.


Ringkasan AI
  • Pemain perseorangan Malaysia menumbangkan bintang Jepun, Kodai Naraoka, dalam Piala Sudirman, memberikan mata kedua buat Malaysia.
  • Jun Hao mendominasi set pertama dengan kemenangan 21-8, sebelum Naraoka bangkit untuk menang set kedua 21-13, tetapi Jun Hao mengatasi lawannya dengan pukulan smash bertenaga untuk menang 21-18 dalam set penentuan.
  • Selepas kemenangan Jun Hao dan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Goh Jin Wei akan beraksi menentang Tomoka Miyazaki dalam perseorangan wanita.


Kemenangan itu memberikan mata kedua buat Malaysia selepas beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, turut memperoleh kemenangan.

Dalam set pertama Jun Hao mencipta kejutan apabila mempamerkan penguasaan penuh hingga pada satu ketika mendahului 10-1 sebelum meraih kemenangan mudah 21-8.

Bagaimanapun, Naraoka mula menunjukkan belang sebenarnya dalam set kedua untuk menang 21-13 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Biarpun ketinggalan pada awal set penentuan, Jun hao mula mengejar pada pertengahan aksi tetapi Naraoka kemudian kembali menyamakan kedudukan 12-12.

Akan tetapi, Jun Hao mula mengeluarkan senjata utamanya, iaitu siri pukulan smash kencang menuju ke penghujung aksi, yang tidak dapat dikekang Naraoka, sekali gus memberikan kemenangan 21-18 buat pemain negara itu selepas secara keseluruhan bertarung selama sejam dan enam minit.

Cabaran negara seterusnya akan digalas Goh Jin Wei, yang akan menentang Tomoka Miyazaki dalam acara perseorangan wanita. -- Stadium Astro


#Badminton Piala Sudirman #Jun Hao #tumbangkan Jepun