KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara mengulangi takdir sama pada Piala Thomas edisi 2020, apabila sekali lagi diundi dalam kumpulan yang sama dengan pasukan Jepun pada kejohanan itu di Bangkok, Thailand pada 8 hingga 15 Mei ini.

Menerusi undian secara maya yang dijalankan di Bangkok, Jepun selaku pilihan kedua kejohanan diletakkan bersama skuad negara dalam Kumpulan D disertai pasukan England dan New Zealand.

Laluan itu dilihat sedikit berliku buat pasukan negara selaku pilihan keenam kejohanan dengan cabaran utama tertumpu kepada saingan menentang Jepun serta England, untuk sekurang-kurangnya melepasi pusingan awal.

Sementara itu bagi Kumpulan A, menyaksikan juara 14 kali serta pilihan pertama kejohanan, Indonesia, berdepan laluan sukar apabila diletakkan bersama-sama tuan rumah Thailand, Korea Selatan dan Singapura.

Bagi Kumpulan B pula mempamerkan peluang seimbang untuk kesemua pasukan dengan China selaku pilihan ketujuh kejohanan diundi bersama Denmark, Perancis serta Algeria.

Dalam pada itu, Kumpulan C menyaksikan pertembungan di antara Taiwan, India, Jerman dan Kanada.

Sementara itu, bagi saingan Piala Uber, skuad wanita negara terpaksa mengharungi laluan sukar dalam Kumpulan C apabila diletakkan bersama-sama tuan rumah Thailand, Denmark dan Mesir.

Pasukan Jepun yang tampil sebagai pilihan utama kejohanan diundi dalam Kumpulan A bersama Indonesia, Perancis dan Jerman.

China, Taiwan, Sepanyol dan Australia bakal berentap dalam Kumpulan B, manakala Korea Selatan, India, Kanada dan Amerika Syarikat diundi dalam Kumpulan D.

Skuad lelaki negara sebelum ini menempah slot ke Piala Thomas selepas berjaya merangkul kejuaraan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 (BATC) buat kali pertama dengan menewaskan juara bertahan Indonesia, 3-0.

Skuad wanita layak ke Piala Uber selepas mara ke peringkat separuh akhir sebelum tewas pada Korea Selatan dalam kejohanan sama.

-- BERNAMA