SUKAN

Badminton Remaja Dunia: Malaysia tewaskan Kanada, hampiri suku akhir

Bernama 07/10/2025 | 22:30 MYT
Skuad negara akan melengkapkan aksi kumpulan menentang Australia hari ini (Rabu). - Foto BAM
KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara meneruskan rentak cemerlang pada Kejohanan Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2025 dengan menewaskan Kanada 2-0 pada aksi kedua Kumpulan C di Guwahati, India seamalam.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan Nasional, skuad negara mencatat kemenangan 45-20, 45-16 menggunakan format baharu kejohanan iaitu tiga set terbaik, dengan setiap set dimainkan hingga 45 mata.

Kemenangan itu adalah yang kedua berturut-turut buat Malaysia selepas menewaskan Slovakia 2-0 (45-23, 45-14) semalam, sekali gus meletakkan skuad negara di tangga teratas Kumpulan C.

Malaysia akan melengkapkan aksi kumpulan menentang Australia hari ini.

Hanya juara kumpulan layak ke peringkat suku akhir.

Pada edisi lepas di Nanchang, China, Malaysia menamatkan cabaran dengan meraih pingat gangsa selepas tumbang kepada tuan rumah pada aksi separuh akhir.

-- BERNAMA


#badminton #Kejohanan Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2025 #India #Kanada