BEREGU lelaki negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi, terus membawa cabaran negara selepas melakar kemenangan ke atas wakil Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.

Yew Sin-Ee Yi yang masih segar dengan kemenangan ke atas wakil Chinese Taipei, Lu Ching Yao dan Yang Po Han 21-14 dan 21-15, mereka turun dalam perlawanan hari ini berdepan lawan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Permulaan set pertama yang cukup bertenaga membuktikan kemampuan beregu negara itu dalam mendominasi seluruh perlawanan apabila mudah mendahului 14-8 sebelum menoktahkan kemenangan 21-10.

Skrip berbeza dalam set kedua, menyaksikan corak permainan wakil Denmark itu gagal dikekang Ee Yi-Yew Sin, apabila mata demi mata berjaya dipungut sebelum mengheret perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan 21-11.

Yew Sin-Ee Yi terus diasak lawan sejak permulaan set penentuan, ketinggalan 12-8 sebelum melakar kebangkitan mengejar permainan sebelum terikat 20-20.

Kedua-dua pasangan saling mengutip mata, sebelum Yew Sin-Ee Yi menoktahkan kemenangan 24-22 sekaligus melangkah ke suku akhir.

*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro