SPORTS

Badminton: Wujudkan semula jawatan Pengarah Prestasi Tinggi - Razif Sidek

Bernama 27/03/2025 | 10:15 MYT
Razif berpandangan BAM perlu melantik seorang pengarah prestasi tinggi bagi mengetuai barisan kejurulatihan sektor perseorangan dan beregu. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melakukan penstrukturan kejurulatihan badan induk baru-baru ini suatu tindakan yang bijak, namun badan induk itu perlu melantik seorang pengarah prestasi tinggi bagi mengetuai barisan kejurulatihan sektor perseorangan dan beregu.


Ringkasan AI
  • BAM melakukan penstrukturan kejurulatihan dan disarankan melantik seorang Pengarah Prestasi Tinggi untuk mengetuai sektor perseorangan dan beregu.
  • Datuk Razif Sidek berpendapat bahawa Pengarah Prestasi Tinggi dapat membantu dan memantapkan prestasi skuad badminton Malaysia.
  • BAM telah melantik Kenneth Jonassen sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan dan Rexy Mainaky sebagai Pengarah Kejurulatihan Beregu.


Legenda badminton negara Datuk Razif Sidek berpendapat dengan adanya Pengarah Prestasi Tinggi itu, ia bukan sekadar mampu membantu barisan kejurulatihan negara malah mampu memantapkan lagi prestasi skuad badminton Malaysia.

"Kalau ikut struktur kejurulatihan BAM ketika ini, bagi saya perlu seorang pengarah prestasi tinggi untuk mengetuai barisan kejurulatihan negara ini. Sebab apa yang saya nampak mereka ada ketua jurulatih bagi sektor perseorangan dan beregu, tetapi siapa yang akan pantau kedua-dua jabatan ini.

"Jadi bagi saya BAM perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan kembali jawatan pengarah prestasi tinggi seperti yang dibuat sebelum ini," katanya kepada Bernama.

Sebelum ini BAM memuktamadkan pelantikan kejurulatihan utama dengan menamakan Kenneth Jonassen sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan manakala Rexy Mainaky akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada peranannya sebagai Pengarah Kejurulatihan Beregu.

Pemangku Presiden BAM Datuk V Subramaniam berkata keputusan itu dicapai selepas pertimbangan teliti oleh badan induk itu, bagi mengoptimumkan kepakaran kejurulatihan dan meningkatkan pembangunan pemain merentas semua peringkat.

Dalam pada itu Razif berkata sekiranya BAM berhasrat melantik Pengarah PrestasiTinggi badan itu perlulah memilih individu yang mempunyai kepakaran dalam kedua-dua sektor, baik perseorangan mahupun beregu.

"Individu yang akan dilantik itu perlu mahir dalam kedua-dua sektor. Kalau dia hanya tahu satu bahagian sahaja, bagi saya ia akan jadi satu masalah di kemudian hari.

"Selain itu, dia juga perlu tahu juga perkembangan sukan badminton baik dalam dan luar negara," katanya.

Untuk rekod, antara individu yang pernah menjawat jawatan Pengarah Prestasi Tinggi BAM ialah bekas pemain negara Datuk James Selvaraj dan Dr Tim Jones.

-- BERNAMA





#BAM #pengarah prestasi tinggi #Razif Sidek #Persatuan Badminton Malaysia