Bajet kami bukanlah lumayan macam JDT - Pengerusi Perak FC

Abd Razak Mohd Ali
September 17, 2022 11:00 MYT
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, mereka mempunyai bajet sendiri yang tidak begitu besar. - Foto Facebook/Perak FC
IPOH: Walaupun dimiliki sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, bajet Perak FC sebenarnya tidaklah sebesar bajet JDT.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, mereka mempunyai bajet sendiri yang tidak begitu besar.
Sehubungan itu, katanya, mereka menetapkan bajet yang sederhana bagi membolehkan Ketua Jurulatih, Lim Teong Kim memilih pemain untuk musim 2023.
“Kita tak kan ada apa-apa bantahan, kita ada bajetlah, kalau dia minta nak bawa Ronaldo, tidak bolehlah, itu di luar bajet.
“Bajet kita bukan besar pun, semua ingat kita lebih lumayan dari JDT, sebenarnya bukan sehebat itu,” katanya pada sidang media khas di Stadium Perak di sini, hari ini.
Abdul Azim berkata, mereka akan berusaha sebaik mungkin untuk mengelakkan isu tunggakan gaji berulang kerana ia turut melibatkan XOX Berhad, syarikat yang memiliki Perak FC.
“Dia benda macam ni (tunggakan gaji), nak menjamin pula, tapi Insya-Allah, kita akan okey dari segi kewangan,” ujarnya.
Menurutnya, jika ada masalah (tunggakan gaji), mereka bukan sahaja perlu menjawab dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tetapi juga dengan Bursa Malaysia.
#Perak FC #bajet #JDT #Abdul Azim Mohd Zabidi #Lim Teong Kim #xox berhad #MFL