BAM lantik Muhammad Miftakh perkuat prestasi beregu wanita negara

Bernama
Februari 2, 2024 11:51 MYT
Pelantikan Muhammad yang juga pemain kebangsaan Indonesia itu, bagi menggantikan kekosongan ditinggalkan Lee Meng Yean, berkuatkuasa mulai semalam. - Foto FB BAM
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengumumkan bekas jurulatih beregu lelaki di India Muhammad Miftakh, dilantik sebagai penolong jurulatih beregu wanita negara.
Pelantikan Muhammad yang juga pemain kebangsaan Indonesia itu, bagi menggantikan kekosongan ditinggalkan Lee Meng Yean, berkuatkuasa mulai semalam.
Menerusi satu hantaran video di Facebook BAM, beliau memaklumkan pelantikannya dicadang Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky, berdasarkan pengalaman luasnya dalam barisan kejurulatihan India selama 10 tahun.
"Rexy yang uruskan saya untuk masuk ke dalam BAM dan bergabung bersama ketua jurulatih Hoon Thien How. Perbincangan itu sudah mula Disember lalu berkenaan masalah kontrak dan lain-lain.
"...dan kerjasama dan komunikasi bersama Thien How untuk dua hari ini sangat bagus. Kalau di beregu wanita ini cara bermain rali panjang, jadi kita memerlukan ketahanan fizik dan minda yang baik untuk menjadi juara buat Malaysia," katanya.
Muhammad menjadi antara watak penting di sebalik kejayaan skuad badminton India mencipta sejarah menjulang Piala Thomas buat k ali pertama pada 2022.
-- BERNAMA
#Persatuan Badminton Malaysia #Muhammad Miftakh #pemain kebangsaan Indonesia #jurulatih beregu wanita negara