Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
SUKAN

BAM terbuka cadangan jawatankuasa RTG pemain negara, profesional berlatih bersama

Bernama 18/11/2025 | 10:50 MYT
Kenny berkata cadangan itu pernah dimaklumkan kepada badan induk itu sebelum ini, namun masih memerlukan penelitian lanjut pihaknya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) secara dasar terbuka terhadap cadangan Jawatankuasa Road To Gold (RTG) yang mahu pemain di bawah naungan mereka dan pemain profesional menjalani latihan bersama.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata cadangan itu pernah dimaklumkan kepada badan induk itu sebelum ini, namun masih memerlukan penelitian lanjut pihaknya.

"Kami perlu berbincang dengan pihak jurulatih di sini dan juga mungkin berbincang dengan Datuk Stuart Ramalingam (Koordinator RTG) untuk kami lihat secara terperinci apa yang dimaksudkan berlatih bersama," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara sini hari ini.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memaklumkan Jawatankuasa RTG mencadangkan pemain badminton di bawah BAM menjalani latihan bersama pemain profesional yang disenaraikan dalam program itu, dijangka bermula awal tahun depan.

Hannah berkata cadangan itu bagi mewujudkan persaingan kompetitif antara pemain di bawah BAM dan mereka yang bergerak secara profesional disenaraikan dalam RTG.

Kenny berkata cadangan Jawatankuasa RTG bukanlah perkara baharu, malah kedua-dua wakil kebangsaan dan profesional pernah berlatih bersama sewaktu negara dilanda pandemik COVID-19 sebelum ini.

Beliau pada masa sama yakin pengumuman Hannah juga mampu membawa kebaikan menyeluruh buat sukan badminton negara.

Berdasarkan senarai terkini RTG, wakil badminton negara tersenarai di bawah BAM adalah dua beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah dan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Wakil profesional pula terdiri daripada beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

-- BERNAMA



#BAM #RTG #latihan bersama #pemain profesional