SUKAN

Bangladesh mahu perlawanan Piala Dunia T20 dipindahkan ke Sri Lanka atas isu keselamatan

Bernama 04/01/2026 | 20:30 MYT
Bangladesh akan memohon kepada Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) supaya membenarkan pasukan itu beraksi di Sri Lanka. - Gambar Reuters
NEW DELHI: Bangladesh mahu perlawanan membabitkan pasukan kriketnya dalam Piala Dunia T20 dipindahkan keluar dari India atas faktor keselamatan, susulan keputusan mengejut lembaga kriket India menggugurkan seorang pemain Bangladesh daripada Liga Perdana India (IPL).

Penasihat Sukan kerajaan interim Bangladesh, Asif Nazrul dalam satu kenyataan di Facebook berkata, negaranya akan memohon kepada Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) supaya membenarkan pasukan itu beraksi di Sri Lanka.

Asif juga mahu mengharamkan siaran perlawanan IPL di Bangladesh.

Lembaga Kriket Bangladesh (BCB) memutuskan bahawa pasukan kriket negara itu tidak akan ke India bagi menyertai Piala Dunia T20 Lelaki ICC 2026 yang dianjurkan bersama oleh India dan Sri Lanka, menurut laporan media Bangladesh.

"Kami telah menghantar surat kepada ICC memohon supaya perlawanan kami dipindahkan dari India ke Sri Lanka.

"Jika mereka tidak dapat menjamin keselamatan seorang pemain kami, bagaimana mereka boleh memastikan keselamatan keseluruhan pasukan?

"Disebabkan itu, kami tidak akan ke sana untuk bermain," kata pengarah BCB Khaled Mashud Pilot seperti dipetik portal The Business Standard.

Pasukan Kolkata Knight Riders (KKR) memaklumkan pada Sabtu bahawa ia telah menggugurkan pembaling laju Bangladesh Mustafizur Rahman daripada pasukan itu, susulan arahan Lembaga Kawalan Kriket di India (BCCI).

Badan kawal selia kriket itu meminta francais berkenaan supaya tidak menyenaraikan pemain berkenaan "disebabkan perkembangan terkini," kata Setiausaha BCCI Devajit Saikia, yang merujuk secara tidak langsung kepada ketegangan politik yang sedang berlaku antara kedua-dua negara.

Sementara itu, BCB pada Ahad mengumumkan skuadnya bagi edisi ke-10 Piala Dunia T20.

Litton Das akan mengetuai pasukan Bangladesh dalam kejohanan yang bakal berlangsung di India dan Sri Lanka pada Februari dan Mac ini.

Bangladesh telah mengambil bahagian dalam setiap edisi Piala Dunia T20 yang diadakan setakat ini.

-- BERNAMA





#Piala Dunia #Kriket #Bangladesh #Sri Lanka #ICC #Liga Perdana India