SUKAN

Barcelona rancang bina patung Messi di Camp Nou baharu - Presiden Joan Laporta

Agensi 13/11/2025 | 22:30 MYT
Messi menyertai akademi Barca ketika berusia 13 tahun, menjaringkan 672 gol dalam 778 penampilan, serta membantu kelab meraih 10 gelaran LaLiga, empat trofi Liga Juara-Juara dan tiga Piala Dunia Kelab sepanjang 21 tahun bersama pasukan. - Gambar fail
BARCELONA: Presiden Barcelona, Joan Laporta, mengesahkan kelab itu merancang untuk mendirikan patung Lionel Messi di luar Camp Nou yang telah melalui proses pengubahsuaian, sebagai penghormatan kepada penjaring terbanyak mereka selepas kunjungan penuh emosi legenda Argentina itu ke stadium berkenaan.

Messi, 38, kembali ke Barcelona pada Ahad lalu untuk meninjau stadium yang dinaik taraf buat kali pertama sejak meninggalkan kelab pada 2021.

Dalam hantaran di Instagram, beliau menyatakan harapan untuk “kembali suatu hari nanti, bukan sekadar untuk mengucapkan selamat tinggal sebagai pemain.”

Laporta, ketika berucap pada majlis pelancaran buku di Barcelona berkata, lembaga pengarah telah membincangkan rancangan untuk penghormatan kekal kepada pemenang Piala Dunia itu.

“Messi akan sentiasa terikat dengan Barca, dia tahu pintu sentiasa terbuka untuknya. Kami amat menghormatinya, dia layak menerima penghormatan terbaik,” kata Laporta.

“Dia seharusnya mempunyai patung di Spotify Camp Nou, seperti (Johan) Cruyff dan (Laszlo) Kubala. Messi adalah antara pemain ikonik yang meninggalkan kesan mendalam. Kami sudah berbincang mengenainya dan sedang mengusahakannya. Keluarga perlu bersetuju, dan semua penyokong Barca pasti mahukannya.”

Laporta sebelum ini menolak spekulasi Messi akan kembali bermain untuk Barca, menyifatkan idea itu sebagai “tidak realistik” memandangkan kontraknya bersama kelab MLS, Inter Miami, yang baru sahaja dilanjutkan bulan lalu.

Messi menyertai akademi Barca ketika berusia 13 tahun, menjaringkan 672 gol dalam 778 penampilan, serta membantu kelab meraih 10 gelaran LaLiga, empat trofi Liga Juara-Juara dan tiga Piala Dunia Kelab sepanjang 21 tahun bersama pasukan.

Camp Nou yang ditutup hampir 900 hari untuk kerja pengubahsuaian, dibuka semula pada Jumaat lalu dengan sesi latihan terbuka yang dihadiri lebih 20,000 peminat.

Laporta berkata, kelab berharap dapat menganjurkan “penghormatan paling indah di dunia” sebaik projek itu siap sepenuhnya. - Agensi



#barcelona #patung Messi #Camp Nou #Presiden Joan Laporta