Baru 9 tahun, Kokona layak bersaing dalam kejohanan dunia papan selaju

Ian Johan Ariff
Ogos 20, 2018 21:18 MYT
Kokona Hiraki menang emas pada kejohanan benua Asia, Vans Park Series pada Sabtu.
Papan selaju adalah sebuah sukan yang pelik.
Kalau Malaysia menyandarkan harapan kepada peluncur berusia 11 tahun, Ian Nuriman Amri di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang, Jepun menghantar budak perempuan berusia sembilan tahun untuk bertanding dalam kejohanan dunia Vans Park Series Pro Tour di China, yang akan berlangsung pada 26-27 Oktober nanti.
Peluncur tersebut adalah Kokona Hiraki dari Hokaido, Jepun.
Dengan hanya satu penaja dan tanpa bantuan daripada mana-mana persatuan sukan di Jepun, peluncur yang baru berusia sembilan tahun itu sudah layak untuk bersaing dengan pemain profesional yang jauh lebih tua dan berpengalaman daripadanya.
Kejayaannya memenangi pusingan kelayakan Vans Park Series (VPS) di Singapura pada Sabtu membolehkannya mendapat tiket untuk bersaing pada jelajah profesional wanita di China itu.
Seperti tahun lepas, hanya tiga peserta perempuan dari Asia datang untuk bersaing merebut tempat ke jelajah profesional wanita VPS tahun ini.
Pesaing Kokona yang paling sengit adalah rakan senegara, Misugu Okamoto yang berusia 12 tahun.
Walaupun hanya tiga orang beraksi dalam kejohanan itu, mata yang dikutip adalah tinggi iaitu 83.33 buat Kokona dan 80.40 untuk Misugu, sementara tempat ketiga, Nyimas Bunga Cinta dari Indonesia mendapat hanya 60.95 mata, menunjukkan jurang perbezaan yang besar antara peluncur dari Jepun dan negara Asia Tenggara seperti Indonesia.
Tahun lepas, peserta Jepun berusia 9 tahun, Sky Brown mendapat tempat kedua pada kejohanan VPS Asia yang diadakan di venue yang sama iaitu East Coast Extreme skate park, Singapura.
Malah Sky pernah beraksi di jelajah profesional wanita semasa dia berusia lapan tahun lagi.
Jadi ia bukan satu lagi kejutan atau perkara luar biasa jika kanak-kanak dilihat beraksi bersama-sama dengan peluncur yang 10-20 tahun lebih tua daripada mereka, dalam kejohanan papan selaju.
Sementara itu dalam kategori lelaki, Kensuke Sasaoka, 19 tahun mempertahankan kejuaraannya yang dimenangi tahun lepas, dengan menewaskan dua lagi rakan senegara dari Jepun, Taisei Kikuchi, 11 tahun dan Daisuke Ikeda, 18 tahun, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Atlet negara, Arina Rahman, 26 tahun gagal membaiki pencapaiannya tahun lepas, apabila menduduki tangga keenam kejohanan, walaupun berjaya mendapat tempat keempat tahun lepas.
Tahun lepas Arina mengutip 74.95 mata berbanding 62.48 mata yang dicatat tahun ini.
#Daisuke Ikeda #Hokaido #Ian Nuriman Amri #Jepun #Kensuke Sasaoka #Kokona Hiraki #Misugu Okamoto #Nyimas Bunga Cinta #Singapura #Sky Brown #Taisei Kikuchi #vans park series #VPS