SPORTS
“Bayar gaji, belanja berhemah, contohi Kuching FC, Selangor FC” - TMJ
Tunku Ismail berpendapat, pasukan bola sepak wajar ditadbir oleh individu yang 'minat dan faham' akan sesebuah pasukan itu sendiri.
KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpendapat, pasukan bola sepak wajar ditadbir oleh individu yang 'minat dan faham' akan sesebuah pasukan itu sendiri.
Ini susulan masalah kestabilan kewangan dalam pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M), selain mencadangkan perbelanjaan secara berhemah seperti dilakukan pasukan Kuching City dan Selangor.
"Apa susah? Bayar gaji, dan jangan belanja lebih daripada kemampuan. Cari orang yang minat dan faham bola menguruskan club bolasepak. Belanja secara berhemah. Contohi Kuching FC dan Selangor FC," titah baginda dalam hantaran di akaun media sosial pada Khamis.
"Sendiri tak bayar gaji, sendiri tak jaga kebajikan, sendiri gagal merancang dan mengurus pebelanjaan, tapi salahkan orang lain, salahkan peraturan, salahkan liga dan lain lain," tambah baginda lagi.
Beberapa kelab Liga Super 2024/2025 sebelum ini dilaporkan berdepan isu tunggakan gaji, menyaksikan segelintir daripadanya berkemungkinan menarik diri daripada saingan musim 2025/2026.