SUKAN
BCCI akhiri kontrak penajaan Dream11 susulan undang-undang baharu larang permainan dalam talian

Pemain kriket India, Mohammed Siraj, memakai jersi tertera tulisan 'Dream11' sebagai penaja, bergambar dengan medal dimenangi pada satu kejohanan di London, 4 Ogos 2025. - Gambar fail/REUTERS
NEW DELHI: Lembaga Kawalan Kriket di India (BCCI), badan induk kriket negara itu, pada Isnin menamatkan kerjasama penajaan dengan platform sukan fantasi dalam talian, Dream11.
Keputusan itu dibuat selepas Rang Undang-Undang Promosi dan Peraturan Perjudian Dalam Talian 2025 diluluskan di kedua-dua dewan parlimen minggu lepas, lapor Xinhua.
Pengesahan dibuat oleh Setiausaha BCCI Devajit Saikia ketika bercakap kepada media.
"Melihat kepada situasi semasa dan mengambil kira bahawa rang undang-undang itu kini telah menjadi Akta, amat sukar bagi BCCI untuk meneruskan kerjasama dengan Dream11."Jadi, hubungan dengan Dream11 sudah berakhir, dan BCCI akan melihat langkah seterusnya termasuk mencari penaja baharu," kata Saikia seperti dipetik oleh sebuah saluran berita televisyen tempatan.
Sebuah agensi berita tempatan turut memetik Saikia sebagai berkata BCCI akan memastikan tidak lagi terlibat dengan organisasi seumpama itu pada masa depan.
Rang Undang-Undang Promosi dan Peraturan Perjudian Dalam Talian 2025 melarang perkhidmatan perjudian wang dalam talian, pengiklanan serta transaksi kewangan berkaitan dengannya.
Menurut laporan, Dream11 dan satu lagi platform sukan fantasi, My11Circle, bersama-sama menyumbang kira-kira US$114 juta kepada BCCI melalui penajaan utama pasukan kriket India dan Liga Kriket Perdana India (IPL).
Menurut laporan media, Dream11 mempunyai kontrak bernilai US$44 juta bagi tempoh 2023-2026 sebagai penaja utama pasukan India.
"Kami sentiasa menjadi syarikat yang mematuhi undang-undang dan sentiasa menjalankan perniagaan mengikut peraturan.
"Walaupun kami percaya undang-undang progresif adalah langkah terbaik ke hadapan, kami akan menghormati undang-undang dan mematuhinya sepenuhnya," kata Dream11 dalam kenyataan terbaharu.
Rang undang-undang itu menjadi undang-undang selepas mendapat persetujuan Presiden India. Undang-undang baharu itu turut melarang iklan berkaitan perjudian dalam talian dan menghalang bank serta institusi kewangan daripada memudahkan atau memindahkan dana bagi permainan berkenaan.
Pakar berkata orang ramai terdorong menyertai perjudian dalam talian dengan mendepositkan duit kerana mengharapkan pulangan lebih tinggi.
Undang-undang itu menjadikan perjudian wang dalam talian sebagai kesalahan yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan/atau denda sehingga 10 juta rupee India (kira-kira US$114,600).
--BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami