Bekas juara tenis Boris Becker dipenjara 2 tahun kerana muflis

Astro Awani
April 30, 2022 01:20 MYT
Perbicaraan mahkamah memberi tumpuan kepada pengisytiharan muflis Becker pada 2017 akibat kegagalan membayar hutang. - Foto REUTERS
LONDON: Bekas juara Wimbledon Boris Becker dipenjara dua tahun setengah oleh mahkamah London selepas didapati bersalah menyembunyikan aset bernilai AS$2.5 juta (RM10.8 juta) bagi mengelakkan membayar hutang.
Juara Grand Slam enam kali berusia 54 tahun itu didapati bersalah atas empat pertuduhan di bawah Akta Insolvensi Britain.
Perbicaraan mahkamah memberi tumpuan kepada pengisytiharan muflis Becker pada 2017 akibat kegagalan membayar hutang lebih AS$3.8 juta berkaitan rumah mewahnya di Mallorca, Sepanyol.
Hakim Deborah Taylor berkata, Becker tidak menunjukkan dia menyesal atas perbuatan itu atau mengaku bersalah.
"Kamu tidak menunjukkan penyesalan, mengaku bersalah dan menjauhkan diri daripada dakwaan dan muflis.
"Walaupun saya terima kamu rasa malu, namun tiada perasaan rendah diri dari kamu sebenarnya," katanya kepada Becker ketika perbicaraan mahkamah berlangsung.
Dari segi undang-undang, Becker perlu mendedahkan segala aset miliknya selepas diisytiharkan muflis bagi membayar balik hutang yang berjumlah hampir AS$63 juta.
Awal bulan ini Mahkamah Southwark Crown mendapati Becker bersalah atas pertuduhan memindahkan aset miliknya, dua pertuduhan gagal mengisytiharkan aset dan menyembunyikan hutang.
Namun dia dibebaskan daripada 20 pertuduhan termasuk kegagalan memulangkan trofi dan medal yang dimenangi ketika kemuncak kariernya dalam tenis.
Mahkamah mendapati Becker gagal mengisytiharkan aset miliknya di Leimen, Jerman yang bernilai AS$1.3 juta serta hutang ke atas rumah berkenaan bernilai AS$870,000.
Dia juga didapati telah memindahkan sejumlah AS$490,000 daripada akaun miliknya kepada sembilan individu lain termasuk bekas isterinya, Barbara dan isteri Sharlely Becker.
Becker pertama kali memenangi kejuaraan Wimbledon pada 1985 ketika berusia 17 tahun.
#Boris Becker #muflis #penjara #sembunyi aset