KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertikaian Sukan (JPS) yang berperanan membantu menyelesaikan sebarang pertikaian badan sukan secara telus dan profesional.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan Beng Choo, yang juga Setiausaha Agung Konfederasi Besbol-Sofbol Sedunia dan Presiden Sofbol Asia, akan dibantu empat Ahli JPS.

Antara individu yang dilantik menganggotai JPS ialah Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia Datuk Amarjit Singh Gill dan Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia pengkhususan dalam Undang-Undang dan Tadbir Urus Sukan Profesor Dr Jady @ Zaidi Hassim.

Melengkapi senarai ahli ialah bekas Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Profesor Datuk Dr S. Shamala dan Naib Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Sharon Wee.

Menurut KBS, JPS merupakan jawatankuasa bebas yang bertanggungjawab untuk mendengar dan menyelesaikan pertikaian yang dirujuk kepadanya apabila sesuatu pertikaian badan sukan tidak dapat diselesaikan di peringkat dalaman menggunakan Peraturan-Peraturan Pembangunan Sukan 2022.

"Sehubungan itu, KBS telah menggubal Peraturan-Peraturan Pembangunan Sukan (Jawatankuasa Pertikaian Sukan) 2022 bermatlamat untuk memperkasa badan sukan dalam mengurus dan menyelesaikan pertikaian dalaman badan sukan termasuklah atlet dengan telus, adil dan pantas tanpa sebarang campur tangan daripada pihak kerajaan atau KBS terutama penglibatan menteri.

"Ini bermaksud menteri tidak terlibat langsung dalam apa-apa prosiding mengenai pertikaian dalaman badan sukan. Menteri hanya terlibat sebagai platform rayuan sekiranya pihak yang bertelagah tidak berpuas hati dengan keputusan JPS," menurut kenyataan itu.

Antara tugas dan tanggungjawab JPS ialah mendengar serta memberi pandangan terhadap isu berkaitan pertikaian dalaman badan sukan yang dirujuk kepadanya dan menyelesaikan aduan pertikaian yang dirujuk oleh mana-mana anggota sesuatu badan sukan atau badan sukan.

JPS juga perlu mengenal pasti dan mengesyorkan langkah serta tindakan bagi menyelesaikan pertikaian dalaman badan sukan, mengesyorkan keputusan muktamad setelah mendengar aduan dan mengeluarkan keputusan secara bertulis kepada kedua-dua pihak yang bertikai.

"KBS komited dalam memastikan isu-isu pertikaian badan sukan yang tidak dapat diselesaikan dipermudah demi pembangunan sukan negara," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA