Belum masanya isi kekosongan CEO ABM - Chong Wei

Bernama
Mei 19, 2023 10:10 MYT
Chong Wei berkata, beliau sentiasa bersedia membantu BAM dari sudut lain bagi mencari jalan menambah baik prestasi skuad negara. -Gambar fail/Astro AWANI
PETALING JAYA: Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei berkata beliau belum memikirkan soal mengisi kekosongan selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM) bagi menggantikan Michelle Chai yang meletakkan jawatan baru-baru ini.
Chong Wei berkata selaku pemain yang telah mencurahkan segalanya untuk sukan itu, beliau sentiasa bersedia membantu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dari sudut lain bagi mencari jalan menambah baik prestasi skuad negara.
"Bagi saya bukan masanya sekarang. Saya sepanjang masa, kalau BAM perlukan bantuan, saya akan bantu.
"Kalau secara sambilan, misalnya sebagai penasihat tiada masalah namun saya tak boleh sepenuh masa. Apapun saya tetap bersama BAM," katanya.
Chong Wei yang merupakan antara panel penasihat teknikal kepada badan induk sukan itu berkata demikan kepada pemberita pada Majlis Jamuan Raya Aidilfitri Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Liga Bola Sepak Amatur (AFL) di Wisma FAM, di sini semalam.
Chong Wei berkata demikian sebagai mengulas pandangan pelbagai pihak bahawa kekosongan jawatan CEO ABM itu layak diisi oleh beliau.
Michelle sebelum ini membuat keputusan meletakkan jawatan CEO ABM bagi mengambil tanggungjawab aksi mengecewakan skuad badminton negara di pentas Sukan SEA 2023 Kemboja yang baru sahaja berakhir.
Sementara itu, mengulas mengenai pencapaian skuad badminton negara yang melangkah ke saingan suku akhir Piala Sudirman di Suzhou, China, beliau berkata ia merupakan persembahan terpuji dipamerkan selepas mereka berjaya menang kesemua perlawanan peringkat Kumpulan C.
"Mereka mempamerkan aksi luar biasa ketika beraksi menentang Australia, Taiwan dan India dalam peringkat kumpulan. Kekalkan momentum ini dan lebih bersemangat di suku akhir.
"Saya harap mereka akan pergi jauh lagi, tambahan pula ini adalah kejohanan yang turut menawarkan mata ke Sukan Olimpik Paris 2024," katanya.
Skuad negara dijadualkan menentang Denmark pada aksi suku akhir pada 5 petang ini waktu Malaysia.
-- BERNAMA
#Sukan Olimpik Paris #suku akhir #BAM #Lee Chong Wei