Benam Nadal untuk bertembung Djokovic di Terbuka Madrid, siapa bintang muda Carlos Alcaraz?

Syafik Shukri Jalil
Mei 7, 2022 07:56 MYT
Dilahirkan di El Palmar, Murcia, Alcaraz pernah menjuarai empat siri kejohanan melibatkan Terbuka Barcelona 2022, Terbuka Miami 2022 dan Terbuka Rio De Janeiro 2022. - Foto AP
KUALA LUMPUR: Peminat sukan tenis saban tahun menyaksikan kehadiran bintang baharu yang diharap mampu merobohkan tembok penguasaan beberapa pemain elit seperti Roger Federer, Novak Djokvic dan Rafael Nadal.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini beberapa nama muncul dan berjaya membuktikan mereka mampu beraksi cemerlang untuk memperoleh kemenangan seterusnya memahat nama dalam sukan ini.
Antaranya Dominic Thiem, Alexander Zverev, Stefanos Tsitsipas, Denis Shapalov, Matteo Barretini dan Felix Auger Aliassime.
Terbaharu bintang muda sensasi dari Sepanyol, Carlos Alcaraz, yang menjadi pemain tenis profesional pada 2018 mencipta kejutan setelah menewaskan Rafael Nadal di peringkat suku akhir Terbuka Madrid 2022 awal pagi tadi.
Alcaraz yang berusia 19 tahun menewaskan Nadal yang juga merupakan pemain nombor empat dunia dengan 6-2, 1-6 dan 6-3.
Dia dijadual bertemu pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic dalam aksi separuh akhir jam 10 malam ini untuk merebut kejuaraan Terbuka Madrid 2022.
Bintang muda yang berada di ranking nombor sembilan dunia ini sering dikaitkan dengan Nadal namun kemenangan ini merupakan pertamanya dalam tiga pertemuan dengan juara Terbuka Australia 2022 itu.
Dilahirkan di El Palmar, Murcia, Alcaraz pernah menjuarai empat siri kejohanan melibatkan Terbuka Barcelona 2022, Terbuka Miami 2022 dan Terbuka Rio De Janeiro 2022.
Menerusi kemenangan di Rio Februari lalu, Alcaraz berjaya meletakkan namanya sebagai bintang tenis termuda menjuarai kejuaraan itu dalam kejuaraan bertaraf 500 ATP dan menewaskan Diego Schwartzman dengan 6-4 dan 6-2.
Malah pada Terbuka Miami pada April, Alcaraz yang berjaya menundukkan bintang Norway Casper Ruud dengan 7-5 dan 6-4, meraih kemenangan ATP Masters 1000 pertamanya seterusnya muncul juara termuda dalam sejarah Terbuka Miami.
Mengimbas semula pencapaiannya dalam Terbuka Amerika Syarikat pada 2021, Alcaraz yang pertama kali hadir sebagai pemain profesional turut berjaya mencipta langkah sulungnya di Flashing Meadow dengan gemilang.
Walaupun mengakhiri rentaknya di suku akhir kerana kecederaan dalam aksi menentang Aliassime, namun aksinya menentang Tsitsipas di pusingan ketiga tetap menjadi ingatan peminat sukan tenis.
Aksi getir itu menyaksikan Alcaraz berjaya menundukkan bintang Greek ini dalam tiga set berbalas dua dengan catat kemenangan 6-3 (set pertama), 7-6 (ketiga) dan 7-6 (penentuan).
Untuk aksi di gelanggang Grand Slam, pencapaian di New York antara yang terbaiknya saat ini namun bintang muda ini juga pernah mara ke pusingan ketiga menerusi Terbuka Australia 2022 dan Terbuka Perancis 2021.
Di Terbuka Wimbledon 2021, Alcaraz pernah meraih pencapaian sehingga ke pusingan kedua sebelum tewas kepada jaguh Rusia, Daniil Medvedev dengan kemenangan straight set 6-4, 6-1 dan 6-2.
#Carlos Alcaraz #Terbuka Madrid 2022 #ATP Masters #Grand Slam