Benzema sah sertai Al‑Hilal selepas tinggalkan Al‑Ittihad

Benzema yang berusia 38 tahun dan pernah beraksi cemerlang bersama Real Madrid, tampil dengan rekod kukuh sepanjang musim ini bersama Al‑Ittihad setelah menjaringkan 16 gol dalam 21 perlawanan merentas semua kejohanan. - Gambar fail
KARIM Benzema kini secara rasmi menyertai Al‑Hilal selepas penyerang berpengalaman itu menamatkan kontraknya bersama Al‑Ittihad, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kariernya di Liga Pro Saudi.
Perpindahan tersebut dikatakan tercetus selepas Benzema menolak tawaran lanjutan kontrak daripada Al‑Ittihad.
Situasi itu turut menyaksikan beliau tidak diturunkan dalam dua perlawanan terakhir kelab berkenaan.
Al‑Hilal mengesahkan kemasukan bintang Perancis itu melalui pengumuman ringkas di platform X, menandakan bermulanya fasa baharu buat pasukan yang kini mendahului liga tersebut.
Benzema yang berusia 38 tahun dan pernah beraksi cemerlang bersama Real Madrid, tampil dengan rekod kukuh sepanjang musim ini bersama Al‑Ittihad setelah menjaringkan 16 gol dalam 21 perlawanan merentas semua kejohanan.
Perpindahan ini turut dianggap sebagai suntikan besar buat Al‑Hilal yang terus memperkukuh barisan serangan mereka dalam usaha mengekalkan momentum sebagai peneraju saingan domestik dan pencabar utama di pentas Asia. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


