Beri laluan solat Maghrib sebelum aksi final Piala AFC 2022 - Idris

Sinar Harian
Oktober 21, 2022 09:09 MYT
Idris dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, permintaan itu telah dimaklumkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu. - Fail/BERNAMA
MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad meminta agar perlawanan akhir Piala AFC 2022 yang menemukan wakil Malaysia, KL City dan wakil Oman, Al Seeb, dilewatkan sedikit bagi memberi ruang penyokong untuk solat Maghrib.
Idris dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, permintaan itu telah dimaklumkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu.
“Pada masa sama, saya juga meminta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) untuk menyediakan ruangan solat bagi kemudahan para penonton dan mungkin boleh memberi pendedahan praktikal mudah untuk mengambil wuduk yang menyenangkan penonton untuk solat.
“Saya juga telah meminta pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk membawa kemudahan surau bergerak mereka,” jelasnya.
Idris menambah, menjadi harapannya agar semua penonton Muslim boleh menunaikan solat dengan tenang.
“Saya doakan juga kemenangan KL City dengan penuh bergaya. Dah solat, mesti jeritan Goool bakal bergema di pihak KL City dengan lebih semangat hendaknya,” ujar beliau.
Perlawanan Akhir Piala AFC 2022 antara KL City (Malaysia) dan Al Sheeb (Oman) akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 22 Oktober ini. -- Sinar Harian
#Piala AFC 2022 #Idris Ahmad #solat Maghrib #KL City