Bianca Andreescu cipta sejarah, gagalkan misi Serena Williams

Syafik Shukri Jalil
September 7, 2019 22:47 MYT
Bianca Andreescu (kanan) dan Serena Williams pada acara penyampaian hadiah selepas Terbuka AS di Pusat Tenis Nasional USTA Billie Jean King di New York, 7 Sept, 2019. REUTERS
Bintang tenis muda, Bianca Andreescu, cipta sejarah baharu Kanada apabila muncul sebagai atlet pertama negara itu yang menjuarai kejohanan Terbuka Amerika Syarikat 2019.
Andreescu, 19 tahun, sekali gus mencipta sejarah menjadi atlet pertama Kanada menjuarai siri jelajah kejohanan terbesar dalam sukan tenis itu.
Menerusi aksi yang berlangsung di Arthur Ashe di sini, Andreescu menang straight set dengan 6-3 dan 7-5 mengalahkan Serena Williams dari Amerika Syarikat.
Williams bagaimanapun membuktikan kekalahannya sebagai satu kekalahan bermaruah.
Ini dapat disaksikan menerusi pusingan kedua apabila Andresscu berjaya mendahului perlawanan dengan 5-1 namun Williams berjaya bangkit menyamakan kedudukan beberapa minit selepas itu.
Namun kemenangan nyata tidak berpihak kepada adik Venus Williams ini untuk kali ini.
Kekalahan ini merupakan rekod dua kali berturut-turut Williams tewas dalam pusingan akhir Terbuka Amerika Syarikat dan merupakan kekalahan keduanya dalam siri jelajah Grand Slam untuk tahun 2019.
#Arthur Ashe #Bianca Andreescu #Kanada #New York #Serena Williams #tenis #Terbuka Amerika Syarikat