SUKAN

Biarpun terlepas Ballon d’Or, Salah tetap disanjung peminat di Kaherah

Agensi 05/10/2025 | 22:45 MYT
Kepulangan Salah ke Mesir pada Ahad disambut seperti wira apabila ratusan peminat dan pelajar sekolah membanjiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah untuk menyambut penyerang Liverpool itu. - Foto X Egypt News
KAHERAH: Kepulangan Mohamed Salah ke Mesir pada Ahad disambut seperti wira apabila ratusan peminat dan pelajar sekolah membanjiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah untuk menyambut penyerang Liverpool itu menjelang aksi penentu kelayakan Piala Dunia.

Laungan “Salah! Salah!” bergema di lapangan terbang, dengan penyokong muda mengibarkan bendera serta memegang sepanduk tanda sokongan.

Sambutan meriah itu diterima selepas bintang Mesir berusia 33 tahun itu terlepas gelaran Ballon d’Or apabila hanya menamatkan saingan di tempat keempat.

Persatuan Bola Sepak Mesir (EFA) dalam kenyataan sejurus ketibaannya memuji ketokohan global dan ketabahan Salah.

“Anda tetap yang terbaik dalam setiap bahasa dan hanya selangkah ke arah impian,” menurut EFA, merujuk kepada perlawanan penting menentang Djibouti dan Guinea-Bissau yang bakal menentukan tiket ke Piala Dunia 2026.

Musim lalu, Salah menjaringkan 34 gol dan mencipta 23 bantuan jaringan dalam 52 penampilan bersama Liverpool, sekali gus membantu kelab itu menjuarai Liga Perdana Inggeris selain meraih anugerah individu termasuk Pemain Terbaik Liga Perdana.

Kedudukan keempat dalam undian Ballon d’Or kali ini merupakan pencapaian tertingginya, di belakang pemenang Ousmane Dembele, Lamine Yamal dan Vitinha.

Salah tidak menghadiri majlis penganugerahan di Paris dan dijangka menyertai sesi latihan penuh skuad Mesir pada Isnin.

Mesir kini mendahului Kumpulan A saingan kelayakan Afrika dengan 20 mata. Kemenangan menentang Djibouti pada 8 Oktober ini akan mengesahkan penampilan keempat mereka di Piala Dunia. - Agensi



#Mohamed Salah #Ballon d Or #Salah disambut sebagai wira #Piala Dunia