KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengadakan perbincangan pada minggu depan dengan  Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menentukan bentuk imbuhan yang akan diberikan kepada skuad Harimau Malaya yang melayakkan diri untuk menyertai Piala Asia 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perbincangan itu juga akan menentukan pihak yang lebih layak untuk menerima imbuhan sama ada FAM atau diberikan terus kepada pemain skuad Harimau Malaya, jika ada.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kerajaan akan turut mempertimbangkan bentuk imbuhan kepada skuad hoki negara yang melayakkan diri ke Piala Dunia 2023.

“Saya dimaklumkan oleh Presiden FAM, mereka perlu mengadakan perlawanan persahabatan di luar negara lebih banyak sebelum Piala Asia dimulakan.

“Jadi kita dah jadi ‘Top 4’ ASEAN kalau kita bermain dengan pasukan yang lebih rendah kualitinya daripada Malaysia, ia tidak akan membawa banyak perubahan kepada Malaysia.

“Pastinya kita kena bermain selepas ini dengan perlawanan-perlawanan persahabatan dengan pasukan lebih kuat daripada negara kita.

“Jadi saya difahamkan FAM akan bawa pemain-pemain ini bermain dengan Korea, atau Jepun, dan kalau itu mereka perlukan kewangan. Sebab kita tahu hoki juga berjaya masuk Piala Dunia, jadi hoki juga perlu diberikan pertimbangan untuk memberikan imbuhan kepada mereka,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) di stesen Kampung Batu, di sini, hari ini.

BACA: Malaysia benam Bangladesh, sah layak ke Piala Asia 2023

Terdahulu, skuad bimbingan pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan-gon, menumbangkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023.

Kemenangan itu menyaksikan skuad negara mengumpul keseluruhan enam mata untuk menamatkan kempen kelayakan di kedudukan kedua di belakang Bahrain, sekali gus mengesahkan tiket ke Piala Asia selaku antara lima naib juara terbaik daripada enam kumpulan.