SUKAN

Boling padang: Muhammad Soufi bangkit daripada kekalahan, kekal rentak kemenangan

Bernama 06/11/2025 | 10:32 MYT
Muhammad Soufi, beraksi cemerlang dalam acara singles lelaki apabila berjaya menewaskan pemain dari New Zealand pada Kejohanan Piala Dunia Boling Padang 2025 hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Pemain negara Muhammad Soufi Rusli menghidupkan peluang mara ke suku akhir acara singles lelaki pada Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025 di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.

Pemain berusia 38 tahun itu mencatat kemenangan penting dengan menewaskan wakil New Zealand Keanu Darby 2-1 menerusi set penentuan selepas kedua-dua pemain terikat 1-1.

Beliau mencatat kemenangan 14-0 pada set pertama, namun tewas 4-6 pada set kedua, sekali gus memaksa pemenang ditentukan menerusi set penentuan.

Terdahulu, pada aksi pembukaan Muhammad Soufi tewas 8-7, 7-4 kepada wakil Australia Aaron Teys, sekali gus menutup hari pertama dengan satu kemenangan dan satu kekalahan.

Muhammad Soufi berkata kemenangan ke atas Keanu amat penting dan menjadi tonik kebangkitan selepas kekalahan pada perlawanan sebelah pagi.

"Saya perlukan kemenangan untuk perlawanan kedua ini sebab pagi tadi saya kalah kepada wakil Australia. Jadi, apa pun saya kena naikkan semangat saya balik. Dalam kejohanan ini, kalau dah kalah banyak memang susah nak ke depan," katanya di sini hari ini.

Muhammad Soufi yang bakal berdepan tiga lagi perlawanan peringkat kumpulan esok menentang Afrika Selatan, India dan Ireland mengakui pertemuan itu menjadi penentu untuk layak ke suku akhir.

Beliau berkata kekuatan mental menjadi faktor pembeza utama menjelang tiga aksi terakhir kumpulan itu.

"Sekarang saya tak mahu fikir jauh sangat. Saya nak fokus satu demi satu perlawanan sebab semua baki perlawanan akan berlangsung di luar. Jadi, saya kena betul-betul mengkaji garisan di luar itu.

"Nak tak nak kena kuat mental dan fizikal. Sebab semua pemain di tahap ni bagus, yang membezakan cuma sejauh mana kita mampu kawal diri dalam tekanan," katanya.

Sebagai rekod, hanya dua pemain terbaik bagi setiap kumpulan layak ke peringkat suku akhir bagi acara singles.

-- BERNAMA










#Muhammad Soufi Rusli #Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025 #peluang mara ke suku akhir #acara singles lelaki