SUKAN
Botafogo lolos ke Pusingan 16 Piala Dunia Kelab
Reaksi Griezmann selepas menjaringkan gol pembukaan ketika perlawanan Piala Dunia Kelab kumpulan B antara Atletico Madrid dan Botafogo di Pasadena, California, 23 Jun 2025. (Foto AP)
KELAB Brazil, Botafogo mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik Kejohanan Piala Dunia Kelab biarpun tewas 0-1 kepada Atletico Madrid dalam aksi sengit yang berlangsung di Stadium Rose Bowl, Pasadena, California.
Atletico, yang sedar wakil La Liga Sepanyol itu perlu menang dengan kelebihan sekurang-kurangnya tiga gol untuk melangkah ke peringkat seterusnya, gagal memecahkan benteng pertahanan kukuh gergasi Amerika Selatan itu sepanjang sebahagian besar permainan.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bergelut mencipta peluang gol, memaksa pengendali Atletico, Diego Simeone, memasukkan penyerang veteran Antoine Griezmann sebaik separuh masa kedua bermula bagi memberi suntikan kreativiti dalam jentera serangan.
Percaturan Simeone hampir membuahkan hasil apabila Griezmann melepasi kawalan pertahanan Botafogo di sebelah kiri, namun rembatannya dari sudut sukar hanya menggegar tiang gol.
Penyerang tinggi lampai, Alexander Sorloth yang memiliki jangkaan jaringan tertinggi dalam kejohanan ini sebelum perlawanan turut mensia-siakan peluang keemasan apabila tandukannya tersasar.
Atletico akhirnya menemui gol pada minit ke-87 menerusi jaringan Griezmann dalam kawasan penalti, tetapi jaringan tunggal itu tidak mencukupi untuk menyelamatkan nasib mereka.
Kemenangan tipis itu tetap menyaksikan Atletico tersingkir, manakala Botafogo mara sebagai naib juara kumpulan dan bakal menentang juara Kumpulan A dalam saingan pusingan 16 terbaik. - Sinar Harian