Seperti tidak percaya tetapi itulah yang berlaku di Estadio Mineiro di Belo Horizonte apabila tuan rumah dan Juara Piala Dunia lima kali, Brazil dimalukan dengan dibelasah teruk oleh Jerman dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2014 awal pagi tadi.
Dengan kemenangan besar itu, Jerman melangkah dengan bergaya ke final untuk bertemu pemenang antara Belanda dan Argentina yang akan berentap untuk satu lagi slot akhir.
Segalanya bagaikan tidak menjadi buat Brazil yang tempang tanpa dua tonggak utama iaitu Neymar yang mengalami kecederaan sehingga terpaksa melupakan kempen Piala Dunia dan juga kapten pasukan, Thiago Silva yang digantung satu perlawanan setelah mengumpul dua kad kuning pada perlawanan terdahulu.
Foto AFP
Kecelaruan barisan pertahanan yang dibarisi David Luiz, Marcelo, Dante dan Maicon nampak ketara apabila pemain Jerman mudah menembusi barisan pertahanan mereka melakukan asakan dan cubaan berbahaya.
Lemahnya pertahanan Brazil menyebabkan 30 minit pertama, pintu gol mereka dibolosi bukan sekali tetapi lima jaringan pantas Jerman yang menyebabkan ribuan penyokong Brazil yang memeriahkan stadium terkedu malah ada juga yang menangis seakan tidak percaya dengan apa yang berlaku.
Thomas Muller yang tidak langsung dikawal pemain Brazil memulakan pesta jaringan apabila tandukannya daripada satu sepakan sudut menewaskan penjaga gol Brazil, Julio Cesar.
Jaringan peribadi kelimanya sepanjang Piala Dunia ini cuba mengejar pendahulu penjaring terbanyak Piala Dunia iaitu James Rodriguez dari Colombia yang masih mendahului dengan enam gol.
GALERI GAMBAR: Aksi separuh akhir Brazil lawan Jerman
Penyerang veteran, Miroslav Klose kemudian menambah pesta derita Brazil apabila menyumbat gol kedua Jerman pada minit ke 23 dan jaringan Klose itu mencipta rekod peribadi buatnya apabila menjadi pemain paling banyak menjaringkan gol sepanjang kempen Piala Dunia dengan 16 gol.
Klose yang pernah memenangi Anugerah Kasut Emas kerana menjadi penjaring terbanyak pada kempen Piala Dunia 2002 meninggalkan bekas bintang Brazil, Ronaldo yang hanya mampu bertahan dengan 15 gol sahaja dan Piala Dunia 2014 merupakan penampilan keempatnya bersama Jerman selepas Piala Dunia 2002, 2006 dan 2010.
Dua jaringan pemain tengah, Toni Kroos pada minit 24 dan 26 meletakkan Jerman selesa di hadapan sebelum pemain Real Madrid, Sami Khedira menambahkan jaringan kepada lima dan separuh masa pertama tamat dengan Jerman mendahului Brazil dengan 5-0.
Jentera serangan Brazil yang diterajui Fred, Bernard dan Hulk kelihatan tumpul apabila cubaan mereka mudah diserap oleh pertahanan Jerman diketuai oleh Philipp Lahm, Jerome Boateng, Mats Hummels, Benedikt Howedes dan Per Mertesacker.
Masuk babak kedua, Brazil memperkemaskan jentera serangan namun masih gagal mencari gol yang dicari sebaliknya Klose pula dibawa keluar dan digantikan dengan Andre Schurrle.
Ternyata 10 minit selepas dimasukkan, Schurrle meledak dengan jaringan keenam Jerman sebelum menutup malam duka Brazil dengan jaringan ketujuhnya pada minit ke 79.
Momentum permainan Brazil juga turut berubah dan mereka sendiri diejek dan dihina oleh penyokong mereka yang berang dengan permainan longlai Brazil sehingga dimalukan dengan jaringan yang sangat besar.
GALERI GAMBAR: Reaksi peminat-peminat Brazil
Perancang tengah Chelsea, Oscar mengakhiri saki-baki perjuangan Brazil apabila menjaringkan gol saguhati pada masa kecederaan untuk keputusan muktamad Brazil satu dan Jerman tujuh.
Ini merupakan kekalahan terbesar dalam sejarah penyertaan Brazil dalam Piala Dunia dan Brazil pula akan bermain dalam penentuan tempat ketiga dan keempat pada 13 Julai ini.
PEMAIN PILIHAN ASTRO AWANI: Toni Kroos (Jerman)