Brazil gah teruskan langkah

Israr Khalid
Jun 27, 2018 23:00 MYT
Pemain Brazil, Paulinho dan Neymar meraikan jaringan gol pertama pasukan itu pada perlawanan Kumpulan E menentang Serbia di Stadium Spartak, Moscow, Russia, 27 Jun, 2018. REUTERS
SERBIA 0 BRAZIL 2
Brazil mengelak daripada menerima nasib seburuk Jerman apabila berjaya menundukkan Serbia 2-0 untuk menjuarai tangga Kumpulan E sekaligus mara pusingan 16 terakhir.
Paulinho meletakkan Seleçao di depan pada minit ke-36 dengan larian untuk menyambut hantaran Philippe Coutinho sebelum melambung bola menewaskan penjaga gol Vladimir Stojkovic.
Namun permainan kurang kemas anak buah Tite hampir menghukum mereka tatkala Serbia menguasai dan terus menerus melancarkan serangan sepanjang 15 minit awal babak kedua bagi mencari gol penyamaan.
Aleksandar Mitrovic mensia-siakan beberapa peluang di hadapan gol, gagal menguji dan memperdaya penjaga gol Brazil, Alisson.
Akhirnya pertahanan Paris Saint-Germain, Thiago Silva mengesahkan penguasaan Brazil di Stadium Spartak dengan melepasi kawalan pertahanan Serbia dan menanduk masuk bola sepakan sudut pada minit ke-68 untuk gol kedua pasukannya.
Brazil kemudian kembali mendapatkan rentaknya dan hampir menambah luka Serbia dengan beberapa percubaan berbahaya, namun gagal menemui sasaran.
Serbia cuba mengharapkan VAR menyebelahi mereka apabila Mitrovic didakwa ditolak pertahanan Brazil, Miranda ketika satu sepakan sudut lewat permainan, tetapi tidak diterima pengadil perlawanan, Alireza Faghani.
Keputusan kekal sehingga wisel penamat ditiupkan, meranapkan harapan Serbia untuk melakar sejarah melangkah ke peringkat kalah mati buat kali pertama.
Sementara juara dunia lima kali akan meneruskan cabaran ke Samara untuk bertemu Mexico pada 2 Julai jam 10 malam.
#Brazil #Moscow #Paulinho #Piala Dunia #Piala Dunia AWANI #Raya Bola 2018 #Rusia #Samara #Selecao #Serbia #Thiago Silva