Persatuan Bola Sepak Brazil (CBF) menyeru pihak FIFA untuk memberi hukuman setimpal kepada bek-kanan Colombia Juan Camilo Zuniga.

Bintang Brazil, Neymar terpaksa meninggalkan padang semasa kemenangan 2-1 pasukannya ke atas Colombia berikutan asakan keras pemain pertahanan tersebut.

Imbasan-imbasan mengesahkan yang tonggak utama pasukan tuan rumah itu bakal terlepas baki persaingan Piala Dunia tahun ini akibat keretakkan tulang belakang (vertebra).

Dan memandangkan pengadil Carlos Velasco tidak mengambil tindakan terhadap Zuniga semasa perlawanan tersebut, pihak CBF telah menggesa FIFA untuk memastikan yang pemain itu diberi hukuman retrospektif:

"Kerana apa yang berlaku berlaku dalam perlawanan di antara Brazil dan Colombia, pihak CBF telah meminta Jawatankuasa Tatatertib FIFA untuk menyiasat dan mengadili asakan ganas pemain Colombia, [Juan Zuniga] terhadap [Neymar], yang akan terlepas baki persaingan Piala Dunia tahun ini."

Brazil bakal berhadapan Jerman dalam peringkat separuh akhir Piala Dunia pada pagi Julai 9. --Astro Arena