SUKAN

Bryan Mbeumo sertai Manchester United, impian zaman kanak-kanak jadi kenyataan

Agensi 22/07/2025 | 00:20 MYT
Mbeumo mengakui penyertaannya ke Manchester United merupakan impian zaman kanak-kanaknya yang kini menjadi kenyataan, selepas beliau sah menyertai gergasi Liga Perdana Inggeris itu menerusi kontrak hingga 2030. - Gambar X @ManUtd
LONDON: Pemain sayap Cameroon, Bryan Mbeumo mengakui penyertaannya ke Manchester United merupakan impian zaman kanak-kanaknya yang kini menjadi kenyataan, selepas beliau sah menyertai gergasi Liga Perdana Inggeris itu menerusi kontrak hingga 2030, dengan pilihan lanjutan selama setahun lagi.

Pemain berusia 25 tahun itu dilaporkan menyertai The Red Devils dengan nilai perpindahan awal 65 juta pound (RM342.7 juta), selepas musim cemerlang bersama Brentford di mana beliau meledak 20 gol dalam 38 perlawanan liga musim lalu.

Tottenham Hotspur, yang kini dikendalikan bekas pengurus Brentford, Thomas Frank, turut berminat mendapatkan khidmat Mbeumo, namun tawaran lebih menarik daripada United akhirnya memuktamadkan perpindahan pemain kelahiran Perancis itu.

Difahamkan, United berjaya mendapatkan Mbeumo menerusi tawaran ketiga bernilai 65 juta pound, dengan tambahan insentif sebanyak 6 juta pound (RM34.2 juta) dalam bentuk bonus, yang diterima Brentford minggu lalu.

“Sejak mengetahui peluang untuk menyertai Manchester United, saya tidak teragak-agak merebutnya. Ini adalah kelab impian saya," kata Mbeumo dalam kenyataan yang dikeluarkan kelab.

“Saya membesar dengan menyarung jersi kelab ini. United adalah kelab besar, dengan stadium yang luar biasa dan penyokong yang hebat. Kami semua berazam untuk mencabar kejuaraan utama,” ujarnya.

Ketua jurulatih United, Ruben Amorim turut aktif memperkuatkan skuad musim panas ini, susulan prestasi hambar musim lalu yang menyaksikan mereka menamatkan saingan liga di kedudukan ke-15 - pencapaian terburuk sejak musim 1973-74 - selain tewas kepada Tottenham di final Liga Europa.

Setakat ini, Amorim telah membawa masuk dua lagi pemain baharu iaitu penyerang Wolves, Matheus Cunha dan pertahanan muda Paraguay, Diego Leon dalam usaha memperkukuh jentera serangan dan pertahanan.

Dua penyerang sedia ada - Rasmus Hojlund dan Joshua Zirkzee - sebelum ini dilihat bergelut untuk menyerlah dalam sistem Amorim musim lalu.

Mengulas lanjut mengenai perpindahannya, Mbeumo berkata, beliau komited untuk mempertingkatkan prestasi diri dan bersaing di peringkat tertinggi.

“Falsafah saya sentiasa mahu jadi lebih baik daripada semalam. Saya percaya saya miliki semangat dan karakter untuk melangkah ke tahap lebih tinggi di sini, di bawah bimbingan Ruben Amorim dan bersama pemain-pemain bertaraf dunia,” jelasnya.

Sepanjang enam musim bersama Brentford sejak 2019, Mbeumo telah menjaringkan 70 gol dan mencipta 51 bantuan jaringan dalam 242 penampilan, termasuk memainkan peranan penting membawa The Bees ke Liga Perdana Inggeris pada 2021 dan membantu mereka menamatkan musim lalu di tangga ke-10. - Agensi




#Bryan Mbeumo #Manchester United #Bryan Mbeumo sertai Manchester United #the Red Devils #Brentford