ARSENAL berharap dapat mengumumkan kontrak baharu Bukayo Saka sebelum tamat musim Liga Perdana Inggeris (EPL).

Penyerang England itu telah berbincang dengan kelab berkenaan sejak tahun lalu dan komited untuk memperbaharui perjanjiannya yang boleh dimuktamadkan sebelum cuti musim panas.

Saka, 21, memainkan peranan penting untuk The Gunners dalam mencabar gelaran musim ini dan merupakan satu-satunya pemain EPL yang mencatat dua angka untuk gol dan bantuan jaringan.

Dia telah menyumbat 13 gol dan melakukan 11 bantuan jaringan untuk pasukan bimbingan Mikel Arteta itu menguasai tangga kedua dan kekal dalam pemburuan trofi menjelang minggu-minggu terakhir kempen ini.

Saka hanya terlepas sejumlah sejam perlawanan musim ini selain turut melakar tiga gol dalam Piala Dunia ketika England berjaya mara ke suku akhir di Qatar.

Rundingan dengan Arsenal mengenai terma baharu telah dilanjutkan ke musim panas lalu sambil Saka menjelaskan pada Ogos lalu bahawa dia dan Arteta "berkongsi keyakinan" untuk melanjutkan kontraknya di Stadium Emirates.

Agensi berita PA percaya perjanjian berkenaan yang kali terakhir ditandatanganinya pada musim panas 2020 dan bakal tamat tahun depan itu diselesaikan sedikit masa lagi.

Sementara itu, Granit Xhaka mungkin akan berpindah pada musim panas ini.

Difahamkan kelab itu bersedia untuk melepaskan kapten Switzerland tersebut yang perjanjiannya juga bakal tamat pada 2024 sekiranya menerima tawaran berbaloi. -- Stadium Astro