Bulan Ramadan tidak menjejaskan prestasi saya - Mohd Azrif

Syakirah Zulkifly
Jun 12, 2018 08:11 MYT
MOHD AZRIF: Tahun ini bukan kali pertama saya bermain bola sepak pada bulan Ramadan, berdasarkan pengalaman sebelum ini juga, ia tidak menjejaskan apa-apa pada prestasi saya. - Foto Instagram/ @m4li554
Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham menganggap beraksi pada bulan Ramadan bukan satu beban dan tidak mendatangkan masalah kepadanya sebagai pemain bola sepak.
Menurutnya, tahun ini bukan kali pertama beliau bermain bola sepak pada bulan Ramadan, berdasarkan pengalaman sebelum ini juga, ia tidak menjejaskan apa-apa pada prestasi beliau.
Sehubungan itu, Mohd Azrif mendedahkan cara pemakanannya bagi memastikan dia kekal cergas sepanjang menjalani ibadah puasa.
“Saya mengambil makanan yang agak berat ketika sahur seperti nasi untuk mengekalkan tenaga sepanjang hari sehingga selepas latihan.
“Semasa berbuka pula, saya hanya mengambil makanan ringan yang berkhasiat seperti ayam, daging atau ikan tanpa nasi supaya tidak rasa ‘berat’ semasa latihan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Pemain berusia 27 tahun itu turut menjelaskan walaupun latihan diadakan pada waktu malam pada bulan puasa, beliau akan membuat senaman ringan sebelum berbuka bagi membantunya mempertahankan kecergasan.
“Pada bulan puasa ini, sesi latihan ditukarkan pada waktu malam selama satu jam, jadi saya perlu kekalkan kecergasan dengan membuat senaman tambahan pada waktu petang dan memberikan 100 peratus tenaga ketika latihan dijalankan,” ujar bekas pemain Selangor itu.
Tambahnya, perlawanan waktu malam pada bulan ini juga tidak mengganggu prestasi kecergasan pasukannya kerana mereka harus sentiasa bersedia dan bersemangat menghadapi perlawanan tidak kira waktu.
Sementara itu, Mohd Azrif berpendapat bahawa Ramadan pada tahun ini cukup bermakna dan berbeza daripada tahun sebelumnya kerana telah melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun lalu.
“Alhamdulillah, sebelum ini saya kena cari makanan sendiri dan berbuka sendirian atau dengan kawan-kawan, sekarang isteri banyak membantu dari segi makanan dan kerja-kerja lain,” katanya.
Mohd Azrif pernah menjadi tumpuan apabila menjadi rebutan antara JDT dan Selangor pada tahun lepas, akhirnya Selangor bersetuju melepaskan pemain tersebut selepas perbincangan diadakan.
#Astro Awani #bola sepak #JDT #Johor Darul Ta zim #Mohd Azrif Nasrulhaq #Ramadan