SUKAN

Cabaran robotik ASEAN platform perkukuh inovasi belia serantau - Hannah Yeoh

Bernama 03/07/2025 | 14:30 MYT
Hannah berkata ASEAN Y-RoboC' 25 ialah satu gerakan serantau yang mencerminkan semangat perpaduan, kreativiti dan aspirasi bersama belia ASEAN. - Gambar Bernama
KOTA BHARU: Cabaran Robotik Belia ASEAN 2025 (ASEAN Y-RoboC' 25) bukan sekadar pertandingan robotik tetapi platform menonjolkan kepentingan inovasi digital dan memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja masa hadapan, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata program berkenaan ialah satu gerakan serantau yang mencerminkan semangat perpaduan, kreativiti dan aspirasi bersama belia ASEAN.

"Program itu antara inisiatif utama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersempena Kepengerusian ASEAN 2025 yang diterajui Malaysia di bawah tema Keterangkuman dan Kemampanan yang menghimpunkan belia dari seluruh Asia Tenggara.

"Sebanyak 12 pasukan belia dari 10 negara anggota ASEAN mengambil bahagian dalam edisi ini termasuk dari Timor Leste ...," katanya kepada pemberita selepas merasmikan cabaran itu di sini hari ini.

Beliau berkata program itu juga menyokong Pelan Kerja Belia ASEAN 2021-2025 yang memberi fokus kepada pengukuhan kemahiran digital dan inovasi yang digerakkan oleh belia serta kerjasama serantau yang inklusif.

Mengulas mengenai Hari Kerjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Institusi Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) ILKBS Zon Timur 2025 yang dilancarkan serentak hari ini, Hannah berkata inisiatif itu menghubungkan graduan secara langsung dengan pihak industri melalui dialog, temu duga terbuka serta pemeteraian memorandum persefahaman membabitkan 16 syarikat industri.

Usaha itu sebagai komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan dan selari dengan Dasar TVET Negara serta aspirasi Malaysia untuk mencapai 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030.

"Gabungan pertandingan robotik serantau dan platform pembangunan kerjaya yang strategik ini menyediakan ruang menyeluruh kepada belia menonjolkan kreativiti, mengaplikasikan kemahiran teknikal serta meneroka laluan kerjaya sebenar," katanya.

Sementara itu, Hannah berkata Kelantan dipilih sebagai lokasi penganjuran bagi memberi ruang kepada belia negeri itu menikmati pengalaman, dan memastikan ia bukan hanya tertumpu di Kuala Lumpur.

Beliau berkata KBS akan terus mewujudkan platform seumpama itu bagi mencungkil bakat dan kemahiran pelajar TVET dalam mengetengahkan inovasi masing-masing.

-- BERNAMA



#ASEAN #KBS #TVET #ASEAN Y-RoboC' 25