SUKAN
Chelsea belanja RM228 juta sambar Garnacho

Kemasukan Garnacho melengkapkan perbelanjaan besar Chelsea dalam jendela perpindahan. - Agensi via Sinar Harian
CHELSEA mengesahkan perpindahan pemain sayap Argentina, Alejandro Garnacho dari Manchester United dengan yuran perpindahan dilaporkan sekitar 40 juta pound (RM228 juta).
Ringkasan AI
- Chelsea sah tandatangani Alejandro Garnacho dari Manchester United dengan yuran perpindahan sekitar 40 juta pound (RM228 juta) dan kontrak tujuh tahun.
- Garnacho, 21, menjaringkan 26 gol dalam 144 penampilan bersama United tetapi tersisih daripada perancangan Ruben Amorim musim ini.
- Kemasukan Garnacho melengkapkan perbelanjaan besar Chelsea dalam jendela perpindahan, namun kecederaan Liam Delap memaksa kelab mengekalkan Nicolas Jackson.
“Saya menonton Piala Dunia Kelab dan kini dapat bersama juara dunia, ia sesuatu yang luar biasa. Kami pasukan terbaik di dunia! Saya gembira berada di sini,” katanya.
Sepanjang bersama United, Garnacho menjaringkan 26 gol dalam 144 penampilan, termasuk ketika membantu The Red Devils menewaskan Manchester City 2-1 di final Piala FA 2024.
Namun, beliau tersisih daripada perancangan Ruben Amorim musim ini selepas dikeluarkan daripada latihan skuad utama bersama Antony dan Jadon Sancho.
Kedatangan Garnacho melonjakkan perbelanjaan Chelsea dalam jendela perpindahan kali ini, selepas turut membawa masuk Joao Pedro, Liam Delap, Estevão dan Jamie Gittens bagi memperkukuh jentera serangan Enzo Maresca.
Bagaimanapun, kecederaan hamstring yang menimpa Delap ketika menentang Fulham dijangka menggagalkan hasrat Nicolas Jackson untuk berpindah ke Bayern Munich secara pinjaman.
Jackson dilaporkan telah diarahkan pulang ke London kerana Chelsea kini hanya memiliki Pedro sebagai penyerang tengah yang cergas.
“Kalau ada dua penyerang, ia sudah memadai. Tetapi bila seorang cedera beberapa minggu, itu bukan situasi ideal,” kata Maresca sambil mengesahkan Delap dijangka berehat antara enam hingga lapan minggu. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami