[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
SUKAN

Cheong Min anggap kejayaan di Brazil detik terindah kariernya

Bernama 10/09/2025 | 15:26 MYT
Pencapaian tersebut sekali gus menebus kekecewaan Tan Cheong Min pada edisi 2023 di Amerika Syarikat selepas berdepan masalah kesihatan. - Gambar fail/Bernama
SEPANG: Ratu wushu negara Tan Cheong Min menyifatkan kejayaan meraih dua pingat emas dan satu perak pada Kejohanan Wushu Dunia ke-17 di Brazil sebagai detik terindah dalam kariernya sepanjang berkecimpung dalam sukan itu.

Cheong Min, 26, berkata pencapaian tersebut sekali gus menebus kekecewaannya pada edisi 2023 di Amerika Syarikat selepas berdepan masalah kesihatan.

"Saya pernah menang pingat emas di Shanghai pada 2019 dalam acara Nandao, dan selepas enam tahun, kejayaan ini sangat bermakna kerana bukan mudah untuk seorang atlet, khususnya wanita, mengekalkan prestasi.

"Kali ini saya berjaya melakukannya semula untuk Malaysia," katanya sebak ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, hari ini.

Beliau memaklumkan latihan intensif skuad negara selama tiga bulan di China sebelum kejohanan menjadi faktor utama kepada persembahan cemerlangnya di Brazil.

Cheong Min membuka kempen dengan pingat perak dalam acara Nandao, sebelum meraih pingat emas menerusi Nangun.

Juara dunia itu kemudian melengkapkan cabaran dengan pingat emas ketiga pada hari terakhir menerusi acara Duilian (trio wanita) bersama Lee Jia Rong dan Pang Pui Yee.

-- BERNAMA


#ratu wushu negara #Tan Cheong Min #Kejohanan Wushu Dunia #Brazil