SPORTS
Chong Wei bangga, puji kemenangan bergaya Aaron-Wooi Yik di BAC 2025
Lee Chong Wei mengucapkan tahniah ke atas kejayaan gandingan beregu lelaki negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, yang merangkul gelaran juara BAC 2025 pada Ahad. - Facebook Lee Chong Wei
LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak dapat menyembunyikan rasa bangganya terhadap kejayaan gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang merangkul gelaran juara Kejuaraan Badminton Asia (BAC) 2025 pada Ahad.
Menerusi satu kenyataan, Chong Wei menyampaikan ucapan tahniah kepada pasangan emas negara itu atas pencapaian gemilang yang berjaya menamatkan kemarau 18 tahun tanpa gelaran dalam kejohanan berprestij tersebut.
“Tahniah yang sebesar-besarnya kepada Aaron Chia Teng Fong dan Soh Wooi Yik atas kemenangan hebat anda di BAC hari ini!
"Anda berdua menunjukkan semangat juang, kemahiran dan ketabahan yang luar biasa di gelanggang.
"Malaysia bangga dengan anda! Cayalah... macam ada ‘level up’ je!,” tulis Chong Wei.
Bekas pemain nombor satu dunia itu turut menyuntik semangat kepada Aaron-Wooi Yik agar terus kekal konsisten serta menjadi inspirasi buat generasi akan datang.
Aaron-Wooi Yik meraih gelaran pertama mereka musim ini selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi dalam aksi final di Pusat Sukan Olimpik Ningbo.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan mereka menamatkan penantian Malaysia sejak kali terakhir gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah muncul juara pada edisi 2007 di Johor Bahru.
Dalam perlawanan akhir, Aaron-Wooi Yik mempamerkan ketenangan dan pengalaman sebagai juara dunia 2022 apabila menundukkan lawan mereka dengan keputusan 21-19, 21-17 dalam masa 47 minit.
Sementara itu, Chong Wei turut merakamkan ucapan tahniah kepada pemain beregu profesional negara, Ong Yew Sin atas pencapaiannya baru-baru ini, walaupun tidak dinyatakan secara spesifik.
“Omedetou (tahniah), Yew Sin,” katanya ringkas. - Sinar Harian