KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Road To Gold (RTG) akan membincangkan tindakan susulan pada mesyuarat seterusnya, jika jaguh badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia tidak menandatangani perjanjian persetujuan komitmen (LOC) menyertai program berkenaan sebelum 14 Nov ini.

Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei, selaku ahli jawatankuasa RTG berkata sebarang keputusan mengenai isu tersebut hanya akan ditentukan pada mesyuarat berkenaan.

"Seperti yang penyelaras RTG Datuk Stuart Ramalingam maklumkan, Zii Jia mempunyai dua minggu untuk menandatangani perjanjian itu. Mungkin Zii Jia sibuk dengan banyak kejohanan luar negara atau mahu fikir dulu.

"Stuart akan buat tindakan susulan dengan Zii Jia, harap dia boleh selesaikan perjanjian ini dalam tempoh diberikan. Keputusan seterusnya akan dibuat dalam mesyuarat, perkara ini tidak dapat diputuskan sendiri," katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai perjanjian RTG melibatkan Zii Jia, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Zii Jia yang berada di ranking ke-11 dunia, merupakan satu-satunya atlet yang belum menandatangani perjanjian itu dan diberikan tempoh 14 hari untuk melengkapkan komitmen berkenaan.

Sementara itu, Chong Wei yang juga Pengurus Pasukan badminton RTG, berkata dua pasangan beregu campuran profesional - Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie - yang digugurkan daripada program RTG, mempunyai peluang untuk disenaraikan semula jika prestasi mereka meningkat.

Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun digugurkan daripada program berkenaan semalam, beregu berkenaan masih diberikan bantuan dari segi khidmat sokongan seperti fisioterapi.

Kedua-dua pasangan itu kini terkeluar daripada ranking kelayakan ke Paris dengan Soon Huat-Shevon di kedudukan ke-16 manakala Kian Meng-Pei Jing di tangga ke-24 dunia.

-- BERNAMA