KUALA LUMPUR: Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan legenda China, Li Dan, layak disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran (Hall of Fame) Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

BWF, dalam kenyataan hari ini, menegaskan bahawa kedua-dua pemain itu berhak mendapat pengiktirafan yang diberikan kepada mereka pada 26 Mei lalu berikutan sumbangan cemerlang terhadap sukan badminton di luar gelanggang dalam tempoh masa yang signifikan.

Ia berkata Majlis BWF meluluskan pencalonan Chong Wei dan Lin Dan untuk disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran yang dicadangkan Suruhanjaya Anugerah BWF, mengikut kriteria pemilihan yang ditetapkan di bawah Peraturan Anugerah BWF.

"BWF mengiktiraf pencapaian dan sumbangan banyak legenda sukan ini dan berharap dapat menyenaraikan lebih banyak juara ke dalam Dewan Kemasyhuran BWF dalam tahun-tahun mendatang," kata BWF.

Baru-baru ini, penyenaraian Chong Wei dalam Dewan Kemasyhuran BWF kurang disenangi oleh legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat selepas tular video yang menunjukkan beliau mempersoalkan kelayakan bekas pemain nombor satu negara itu.

Taufik berkata bahawa Lin Dan lebih layak mendapat pengiktirafan itu.

Jumaat lalu, sebagai respons, Chong Wei, 41, meminta Taufik mendapatkan penjelasan BWF dan berharap badan dunia itu akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

Chong Wei, pemain berasal dari Pulau Pinang itu, merupakan pemain nombor satu dunia selama 349 minggu, dengan tiga pingat perak Sukan Olimpik iaitu Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016, serta tiga gelaran naib juara dunia pada 2011, 2013 dan 2015.

Dalam pada itu, Lin Dan merupakan pemenang dua pingat emas Olimpik di Beijing 2008 dan London 2012 serta lima kejuaraan kejohanan dunia pada 2006, 2007, 2009, 2011 dan 2013.

-- BERNAMA