Chong Wei, Nicol terima Anugerah Perdana Legasi

Isabelle Leong
Julai 23, 2019 17:17 MYT
CHONG WEI: Anugerah ini juga diharap memberi dorongan kepada anak-anak muda untuk berusaha bagi mendapat pengiktirafan. - Astro AWANI
Dua ikon sukan negara, Datuk Nicol Ann David dan Datuk Lee Chong Wei menerima Anugerah Utama Perdana Legasi pada majlis Gala IPEC Global Legacy 2019 malam ini.
Hasil anjuran Biro Pengiktirafan IPEC, malam gala yang diadakan buat julung kalinya di Malaysia ini memberikan anugerah kepada individu yang terlibat dalam bidang sukan.
Chong Wei dan Nicol menerima Anugerah Perdana Legasi kerana menjadi inspirasi kepada orang ramai di samping dedikasi mereka dalam bidang sukan.
Chong Wei menerima anugerah ini atas sumbangannya dalam sukan badminton manakala Nicol dalam sukan skuasy.
“Saya sangat gembira. Tahniah juga kepada Nicol kerana diberi anugerah ini. Pertama kali (diberi anugerah ini) dengan Nicol sekali.
“Malangnya, Nicol tidak dapat hadir kerana berada di luar negara. Saya dan Nicol bekerja keras dan kami diberi anugerah ini, saya sungguh gembira.
“Anugerah ini juga diharap memberi dorongan kepada anak-anak muda untuk berusaha bagi mendapat pengiktirafan,” katanya kepada pemberita selepas malam gala itu.
Bagaimanapun, ratu skuasy negara itu tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.
Ibu bapa beliau, Desmond David dan Ann Marie David hadir bagi mewakilinya.
Malam gala tersebut dihadiri 300 tetamu dari 21 negara APEC yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
#Anugerah Utama Perdana Legasi #APEC #badminton #Gala IPEC Global Legacy 2019 #Lee Chong Wei #luar negara #Malam Gala #Nicol Ann David #Skuasy #sukan