JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak gentar dengan kebangkitan yang dipamer pemain China, Lin Dan tahun ini.

Lin Dan meraih gelaran All England buat kali keenam selepas menewaskan rakan senegara, Tian Houwei di pentas final.

Selain itu, pemain China itu turut merangkul kejuaraan Terbuka Jerman, sekali gus memberikannya persediaan terbaik dalam menghadapi temasya Olimpik Rio.

Untuk rekod, Lin Dan pernah menafikan hasrat Chong Wei untuk meraih emas sewaktu temasya Olimpik London 2012 dan situasi itu mampu berulang di Rio.

"Kita boleh buat persiapan rapi untuk turun bertanding tetapi buat masa ini memang Lin Dan berada dalam tahap terbaik selepas menjuarai Terbuka Jerman dan All England namun kita tidak boleh menjangkakan yang dia mampu mengulangi kejayaan sama di kejohanan lain," jelas Chong Wei.

Chong Wei pulang ke tanah air pada Selasa selepas membuat keputusan tidak menyertai Terbuka Switzerland.

Dia dijangka kembali menjalani latihan seperti biasa untuk persediaan menghadapi dua Kejohanan Siri Super Terbuka India dan Malaysia.

Apa yang diharapkan pemain berusia 34 tahun itu, agar dapat terus memberi fokus kepada prestasi dirinya dengan berbaki lima bulan untuk ke Rio.

"Ini adalah penampilan keempat saya di Rio dan saya harap dalam masa 5 bulan ini saya akan lebih fokus berlatih. Saya akan berbincang dengan jurulatih mengenai persiapan saya," katanya.