Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei optimis kontinjen negara mampu mencapai pingat emas yang dinanti-nantikan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Chong Wei berkata kejayaan kontinjen negara di Sukan Olimpik Rio de Janeiro membuktikan semua atlet mampu meraih pingat serta prospek pingat emas tidak lagi tertumpu pada badminton sahaja.

"Saya harap kejayaan kontinjen negara ini dapat menaikkan semangat pemain pelapis negara untuk lebih kompetetif seperti Pandelela Rinong dan penerjun yang lain.

"Memang saya kecewa selepas tiga kali mencuba, saya tetap meraih pingat perak. Ini adalah Olimpik terakhir...saya tidak fikir lagi sama ada mahu beraksi atau tidak di Sukan Olimpik Tokyo nanti," katanya pada sidang media di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.


Beliau juga akan berbincang dengan Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid untuk ke negeri-negeri bagi memberi semangat kepada pemain muda yang berminat dengan badminton.

Chong Wei meraih pingat perak buat kali ketiga berturut-turut di Sukan Olimpik bermula pada 2008 di Beijing, 2012 di London dan tahun ini di Brazil.

Beliau juga menaruh harapan kepada pemain muda seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin untuk cemerlang di pentas antarabangsa bermula sekarang.