Tidak ramai yang akan menyangka pertemuan Costa Rica dengan Greece di peringkat kalah mati ini.

Costa Rica dianggap pasukan paling lemah dalam Kumpulan C, namun mengejutkan dunia dengan kemenangan ke atas Uruguay dan Itali. Malah mereka melakukannya dengan bergaya dengan bergelar juara kumpulan.

Gandingan Joel Campbell dan Bryan Ruiz di bahagian serangan, sementara Oscar Duarte dan Junior Diaz mengukuhkan benteng sehingga menjadi bualan di Brazil.

Selepas berjaya mengesahkan kemaraan lebih awal, Costa Rica mempunyai seminggu untuk membuat persiapan. Pemain tengah Yeltsin Tejeda agak terkejut dengan lawan yang dihadapi, kerana mereka menjangkakan bakal menghadapi Colombia atau Ivory Coast.

"Kami tidak terlintas mengenai lawan yang bakal dihadapi. Sekarang kami perlu menukar rakaman kami," ujarnya.

Costa Rica tidak pernah melepasi peringkat 16, sementara Greece baru pertama kali mencipta sejarah mara sejauh ini.

Geogios Samaras percaya kejayaan Greece setakat ini telah membuktikan bahawa mereka mampu menyerang disebalik terkenal dengan corak bertahan.

"Kami menunjukkan ketika bertemu Ivory Coast betapa kami bukan sahaja mampu bertahan dengan baik, tapi menyerang dengan baik," katanya.

"Kami mencipta peluang dan terus menyerang sehingga tamat permainan. Sekalipun kami dibolosi pada minit ke-74, kami terus menyerang." -- Astro Arena