MAJLIS Sukan Negara (MSN) melaksanakan langkah drastik susulan peningkatan kes positif COVID-19 apabila tidak membenarkan atlet pulang ke kediaman yang terletak dalam kawasan kategori zon kuning, jingga dan merah.

Buat masa ini, atlet yang berada di beberapa daerah di Sabah tidak dibenarkan berlatih bermula hari ini.

MSN akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana atlet yang melanggar arahan pulang ke kediaman yang terletak dalam ketiga-tiga zon terbabit.

Ia bagi menjamin keselamatan ratusan atlet di Bukit Jalil selain beberapa pusat latihan seluruh negara.

"Kami menasihati atlet di Sabah terutama atlet olahraga kebangsaan, Rayzam Shah Wan Sofian, agar mematuhi arahan kerajaan dengan melakukan aktiviti di kediaman masing-masing dan tidak keluar kawasan untuk elak jangkitan," kata Pengarah Bahagian Persediaan Atlet MSN, Jefri Ngadirin, di Bukit Jalil, pada Selasa.

Zon kuning mencatat kurang 20 kes positif, jingga 21 hingga 40 sementara merah 40 kes ke atas.

Buat masa ini, MSN belum merancang untuk melaksanakan kem latihan Road to Tokyo (RTT) seperti yang diketengahkan ketika awal kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jun lalu.

Cuma atlet, jurulatih serta pegawai diminta patuh dengan arahan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

KBS sudah pun menangguhkan sambutan Hari Sukan Negara, Sabtu ini, selain menyarankan agar semua persatuan melakukan perkara sama.